UMAT Nabi Syuaib a.s adalah
penduduk kota Madyan yang menyembah pohon al-Aikah dan selalu melakukan
penipuan dalam sukatan, ukuran dan timbangan. Oleh itu, Allah SWT telah
mengutuskan Nabi Syuaib untuk mengajak mereka menyembah Allah Yang Esa dan
meninggalkan perbuatan buruk tersebut. Bagaimanapun, mereka menolak ajakan
pesuruh Allah itu.
Allah SWT mengisahkan semua ini
menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan Kami telah menghujani mereka dengan
hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat
orang-orang yang melakukan kesalahan.
Dan kepada penduduk Madyan
(Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: Wahai kaum sembahlah
kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya.
Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata daripada Tuhan
kamu.
Oleh itu, sempurnakanlah
sukatan dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan
benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya dan janganlah kamu berbuat
kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan
sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu orang-orang yang
beriman."
Dan janganlah kamu duduk pada
tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan menakut-nakutkan dan menghalangi
orang-orang yang beriman daripada melalui jalan Allah dan kamu pula menghendaki
supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu
sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai, serta
perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berbuat kerosakan."
Dan jika ada segolongan
daripada kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah
diutuskan untuk menyampaikannya dan segolongan lagi tidak beriman, maka
sabarlah sehingga Allah menjalankan hukum-Nya di antara kita semua dan Dialah
jua sebaik-baik hakim."
Ketua-ketua yang sombong takbur
daripada kaum Nabi Syuaib berkata: Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai
Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari
negeri kami ini atau kamu berpindah kepada agama kami". Nabi Syuaib
menjawab: Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak
menyukainya?
Sesungguhnya (bermakna) kami
berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah kepada agama kamu sesudah Allah
menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah harus kami berpindah kepadanya
sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, mengkehendakinya. Pengetahuan Tuhan
kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai
Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebesaran (keadilan),
kerana Engkau jualah sebaik-baik hakim."
Dan berkatalah pula ketua-ketua
yang kafir daripada kaum Nabi Syuaib (kepada orang ramai): Sesungguhnya jika
kamu mengikut Syuaib nescaya kamu dengan perbuatan yang demikian menjadilah
orang-orang yang rugi."
Maka mereka dibinasakan oleh
gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat
masing-masing."
Mereka yang mendustakan Nabi
Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu. Orang
yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi."
Kemudian Nabi Syuaib
meninggalkan mereka sambil berkata: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah
menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku dan aku telah memberi
nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap orang-orang
kafir (yang telah binasa itu)."
Dan (Tuhan berfirman): Kami
tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh
penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan
hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf
dan tidak berlaku sombong takbur).
Setelah (mereka tidak juga
insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak
(serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): Sesungguhnya nenek
moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita
rasakan)". Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut
dan tidak menyedarinya. (al-Araaf: 84-95)
Allah SWT menceritakan
kehancuran umat Nabi Syuaib dengan gempa menerusi firman-Nya yang bermaksud:
Kemudian mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang
bergelimpangan di dalam rumah-rumah mereka. (Iaitu) orang-orang yang
mendustakan Syuaib seolah-olah mereka belum pernah berdiam di kota itu,
orang-orang yang mendustakan Syuaib mereka itulah orang-orang yang rugi. (al-Araaf:
91-92)
Juga dalam surah asy-Syuara
ayat 189-190, Allah SWT menjelaskan kehancuran mereka menerusi firman-Nya yang
bermaksud: Kemudian mereka mendustakan Syuaib, lalu mereka ditimpa azab pada
hari mereka dinaungi awan. Sesungguhnya azab itu adalah azab hari yang besar.
Sesungguhnya azab itu adalah azab hari yang besar. Sesungguhnya pada yang
demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan
mereka tidak beriman.
Demikianlah kaum Nabi Syuaib
a.s, mereka diazab dengan tiga azab sekali gus, iaitu gempa, suara keras
mengguntur dan awan gelap yang menaungi mereka. Semua itu disebabkan kerana
kekufuran dan kemaksiatan mereka.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_03/Umat-Nabi-Syuaib#ixzz32xkaYA00
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment