Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN
pengarang@utusan.com.my
Seorang petugas sebuah pasar
raya menarik semula penjualan coklat Cadbury yang disahkan oleh Kementerian
Kesihatan mengandungi DNA babi di Kuala Lumpur, semalam. - Bernama
KUALA LUMPUR 24 Mei -
Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel coklat Cadbury iaitu coklat susu
dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan coklat susu dengan buah
badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) mengandungi Asid Deoksiribonukliek
(DNA) babi (porcine).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk
Dr. Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata, keputusan tersebut diperoleh hasil
daripada tiga sampel coklat susu Cadbury yang telah diambil untuk analisis bagi
tujuan pemantauan.
"Keputusan analisis
mendapati dua sampel dikesan mengandungi DNA babi iaitu coklat susu dengan
kacang hazel, nombor kelompok 200813M01H I2 yang tarikh luput pada 13 November
2014 dan coklat susu dengan buah badam, nombor kelompok 221013N01R I1 yang
tarikh luput pada 15 Januari 2015.
"Satu lagi sampel coklat
susu Cadbury (Cadbury Dairy Milk Chocolate) tidak dikesan DNA babi,"
katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham
berkata, pihak pengeluar produk berkaitan, Cadbury Confectionary Malaysia Sdn.
Bhd. memberi jaminan akan menarik balik produk terbabit daripada pasaran dengan
serta-merta.
"Kementerian menasihatkan
orang ramai supaya membaca nombor kelompok pada label produk sebelum membeli
atau memakannya.
"Sekiranya pengguna
mempunyai sebarang persoalan, pengguna boleh mengemukakan kepada kami menerusi
laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di
http://fsg.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq," ujarnya.
Sementara itu, Cadbury Malaysia
dalam laman Facebooknya menyatakan, pihaknya akan mengambil tindakan segera
dengan menarik balik dua produk berkenaan.
"Bagaimanapun, kami kini
sedang memantau pembekalan produk tersebut secara menyeluruh bagi memastikan
standard kualiti mencapai tahap ditetapkan.
"Kami memberi jaminan
kepada pengguna bahawa semua coklat Cadbury yang dikeluarkan di Malaysia
disahkan halal oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), termasuk lokasi
dan bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk.
"Cadbury Malaysia
menggunakan prosedur yang ketat dalam memastikan semua produk kami mempunyai
standard keselamatan dan kualiti yang tinggi," katanya.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140525/dn_07/Coklat-Cadbury-dikesan-DNA-babi#ixzz32g1csYME
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment