Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
PETALING JAYA - Sebuah pasukan
dari Liga Malaysia bakal beraksi dalam Liga Juara-juara pada 2015, dengan satu
slot playoff diperuntukkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Bagaimanapun, itu hanya akan
berlaku jika proses pelesenan di bawah kendalian AFC berjalan lancar.
Penolong Setiausaha Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM), Lazarus Xavier berkata, semua kelab diminta
menghantar lengkap permohonan lesen kepada AFC selewat-lewatnya 31 Oktober ini
dengan mematuhi lima kriteria utama iaitu pengurusan sukan, pentadbiran,
undang-undang, infrastruktur dan kewangan.
Selain daripada itu, Lazarus
menjelaskan tidak pernah wujud istilah pemberian gred terhadap mana-mana liga
oleh AFC dan itu bukan menjadi punca mengapa pasukan dari Liga Malaysia tidak
pernah bersaing dalam Liga Juara-juara Asia.
"FAM meletakkan sasaran
agar ada sebuah pasukan dari Liga Malaysia akan bermain dalam slot playoff Liga
Juara-juara pada 2015 dan langkah pertama yang perlu diambil bagi memastikan
ada pasukan kita layak bersaing adalah mereka perlu memohon lesen daripada AFC.
"Setakat ini, maklum balas
yang ditunjukkan oleh wakil-wakil dari setiap pasukan sepanjang seminar yang
diadakan hari ini (semalam) begitu positif namun terlalu banyak kerja mesti
dilakukan sebelum hasrat itu mampu direalisasikan.
"Buat masa ini, 24 pasukan
layak bersaing dalam Liga Juara-uuara dan kelab dari Malaysia tidak boleh
mendapat slot secara terus sebaliknya perlu bersaing dalam playoff.
"Jika pasukan ini
terkandas di peringkat playoff, mereka tetap mendapat slot bermain dalam Piala
AFC bersama-sama sebuah pasukan lain dari Malaysia yang mendapat kelayakan
automatik.
"Sama ada juara Liga Super
atau Piala FA yang akan mendapat slot berkenaan, itu terpulang kepada
Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang baharu untuk tentukan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas
bengkel FAM-AFC mengenai pelesenan sesebuah kelab, yang turut dihadiri
Pengerusi Kajian dan Sokongan AFC, Steve Tae H. Kim dan Setiausaha Agung FAM,
Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Mengulas mengenai tanggapan
sesetengah pihak yang melabelkan Liga Malaysia berada dalam Gred D, Lazurus
hairan dari mana maklumat tersebut datang kerana AFC tidak pernah mengadakan
sistem penggredan untuk mana-mana liga.
"Di AFC tidak pernah ada
Gred A, B, C atau D, hanya ranking berdasarkan pertandingan anjuran AFC sahaja
menjadi penilaian kami.
"Hanya melalui pelesenan
kelab di bawah AFC, itu yang sentiasa menjadi penghalang kepada mana-mana
pasukan dari negara ini apabila mahu beraksi dalam Liga Juara-juara Asia.
"Perkara ini boleh menjadi
penghalang kepada mana-mana pasukan untuk bermain di peringkat playoff.
Sekiranya menjuarai Liga Super atau Piala FA sekali pun tetapi tidak memohon
lesen, mereka tidak layak dan slot itu akan diberikan kepada pasukan kedua
terbaik serta mempunyai lesen daripada AFC.
"Kami menyasarkan
sekurang-kurangnya enam pasukan dari Liga Super mempunyai lesen daripada AFC
pada musim hadapan," katanya.
Tambah Lazarus, masalah stadium
berkelas A untuk digunakan dalam saingan Liga Juara-juara bukan menjadi satu
bebanan kerana Malaysia mempunyai dua stadium yang boleh digunakan pada
bila-bila masa iaitu Stadium Nasional di Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam.
"Setiap pasukan tidak
perlu mempunyai stadium sendiri yang diiktiraf berkelas A memandangkan kita
sudah ada di Bukit Jalil dan Shah Alam, itu pun sudah cukup bagi mana-mana
pasukan mendapatkan lesen," katanya.
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140530/su_01/Pasukan-Malaysia-dalam-Liga-Juara-juara#ixzz33EEN21Y3
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment