Ad

Tuesday, 27 May 2014

Sevilla dipaksa berpeluh


Sevilla dipaksa berpeluh
Pertahanan Sevilla, Diogo Figueiras (tengah) berdepan dengan penjaga gol Selangor, Mohd Hamsani Ahmad (kiri) ketika saingan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Shah Alam: Persembahan baik dipamerkan pendahulu Liga Super, Selangor apabila sekadar tewas 2-0 kepada juara Liga Europa musim ini, Sevilla pada aksi persahabatan antarabangsa yang disaksikan secara percuma kira-kira 25,000 penyokong setia skuad Merah Kuning itu di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Memandangkan Selangor baru 48 jam bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super, Sabtu lalu, jurulatih Mehmet Durakovic hanya menyenaraikan empat tonggak utama - Steve Pantelidis, Rizal Fahmi Rosid, Azmi Muslim dan Paulo Rangel dalam kesebelasan utama, selebihnya barisan simpanan.

Manakala jurulatih Sevilla, Unai Emery pula menurunkan empat pemain yang beraksi ketika mereka menewaskan Benfica di pentas final Liga Europa, 14 Mei lalu iaitu Diogo Figueiras, Federico Fazio, Nico Pareja dan bekas pemain Arsenal, Jose Antonio Reyes.

Sevilla membenam Pelita Bandung Raya 4-0 pada aksi persahabatan pertama mereka di Bandung, Indonesia, Khamis lalu.

Lapan pertukaran

Pada aksi malam tadi, Selangor hampir mengejutkan kelab Liga Sepanyol itu seawal minit kelima, namun tandukan Rangel hasil hantaran lintang Abdul Hadi Yahya berjaya ditepis penjaga gol Sevilla, Sergio Rico.

Sebaliknya Sevilla membuka tirai jaringan pada minit ke-30 selepas Piotr Trochowski melakukan rembatan cantik yang menyaksikan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad yang bertindak sebagai kapten sekadar terpaku.
Ketika permainan memasuki masa kecederaan separuh masa pertama, Sevilla tambah selesa apabila berjaya memperoleh gol kedua menerusi tandukan Figueiras yang menerima hantaran lintang Reyes dari sebelah kiri.

Bagi mengimbangi kekuatan Sevilla, Durakovic melakukan lapan pertukaran sepanjang babak kedua dengan membawa masuk Shahrom Kalam, S Kunanlan, P Rajesh, Afiq Azmi, Andik Vermansah, S Veenod, A Thamil Arasu dan penjaga gol utama, Farizal Marlias.

Andik paling menyerlah apabila melakukan beberapa percubaan berbahaya termasuk rembatan selepas memusingkan badan pada minit ke-59 yang sedikit tinggi serta sepakan percuma pada minit ke-75 yang memaksa Rico menerbangkan badan untuk menepis bola keluar.

RUJUKAN-BERITA HARIAN ONLINE 27.5.14

No comments:

Post a Comment