28 Mei 2014
Datuk K Rajagobal Datuk K
Rajagobal
KUALA LUMPUR - Bekas pengendali
skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal mendedahkan bahawa beliau sedang
mempertimbang tawaran daripada beberapa pasukan benua Asia yang berminat untuk
mendapatkan khidmatnya.
Jurulatih berusia 57 tahun itu
yang sebelum ini dikaitkan sebagai seorang calon skuad kebangsaan Vietnam,
bagaimanapun enggan menyatakan nama pasukan berkenaan kerana beliau sedang
mempertimbang terma serta visi yang mahu dicapai oleh persatuan bola sepak
negara-negara tersebut.
"Saya mahu lihat dahulu
visi dan misi negara berkenaan. Apa yang mereka mahukan dari segi jangka pendek
atau panjang. Saya tidak mahu buat keputusan drastik.
"Memang saya ada mendengar
nama saya dikaitkan dengan pasukan Vietnam (sebelum ini), namun saya belum
mendapat kertas hitam putih daripada mereka," katanya.
Rajagobal berkata demikian
ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran logo Kejohanan Piala Dunia
Bola Sepak Bersatu Olimpik Khas 2014 yang disempurnakan Tunku Muinuddin Putra
Tunku Ahmad Nerang bagi mewakili Raja Puan Besar Perak Tuanku Raja Zara Salim
di Kelab Diraja Selangor di sini hari ini.
Selain tawaran berkenaan,
Rajagobal turut mendedahkan beliau sedang dipancing oleh empat pasukan daripada
Liga Malaysia yang turut berminat mendapatkan khidmatnya.
"Saya berterima kasih
kepada empat pasukan berkenaan yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya.
Saya perlu fikir dengan baik sebelum buat keputusan (muktamad)," katanya.
Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) tidak melanjutkan kontrak Rajagobal yang berakhir pada 31 Dis 2013
selepas gagal membawa pasukan kebangsaan beraksi pada Piala Asia 2015 di
Australia yang dijadikan Petunjuk Prestasi Utama kepada beliau.
Rajagobal pernah membantu skuad
bawah 23 negara (Harimau Muda A) meraih pingat emas pada Sukan Sea 2009 di Laos
selain membawa skuad Harimau Malaya muncul juara Piala AFF Suzuki pada 2010
yang dianjurkan bersama Malaysia dan Indonesia. - Bernama
SINAR HARIAN ONLINE 28.5.14
No comments:
Post a Comment