Ad

Wednesday, 28 May 2014

BELASUNGKAWA: Sultan Azlan Shah berjiwa rakyat

BELASUNGKAWA: Sultan Azlan Shah berjiwa rakyat

Sultan Azlan Shah bersalaman dengan rakyat jelata yang menyambut ketibaan baginda untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada tahun 2010. - Foto Ikhwan Munir
Dikenali sebagai Sultan berjiwa rakyat, kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah pada usia 86 tahun meninggalkan kesan mendalam dalam setiap hati rakyat negara ini khususnya rakyat Perak.

Negara umpama kehilangan mutiara berharga kerana baginda banyak menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara, khusus dalam bidang perundangan, pendidikan dan sukan.


Ketika hayatnya, Almarhum amat dikasihi, dihormati dan disanjung rakyat di bawah naungannya terutama di Perak dan ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong. Baginda sangat dikasihi rakyat kerana ketokohan, kebijaksanaan, ketulusan hati dan sifat dedikasi sepanjang memerintah Perak.

Menyusur sejarah hidup baginda, Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Sultan Perak, susulan kemangkatan Sultan Idris Shah II pada 3 Februari 1984.

Baginda yang ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Perak ke-34 pada 9 Disember 1985, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, memakai gelaran Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Pelantikan dibuat Dewan Negara Perak yang bersetuju melantik baginda yang ketika itu bergelar Raja Muda, Raja Azlan Shah Yussuf Izzuddin Shah.

Yang di-Pertuan Agong ke-9 Pada 1984, Sultan Azlan Shah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Baginda kemudian ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-9 pada 1989 untuk tempoh lima tahun berakhir pada April 1994.
Sepanjang pemerintahan baginda, Sultan Azlan Shah sangat dikagumi dan dihormati Raja-Raja Melayu dan pemimpin dalam serta luar negara kerana ketokohannya terutama dalam bidang perundangan.

Ketokohan baginda sebagai pemerintah terserlah ketika kerajaan Perak dilanda krisis politik pada 2009. Baginda selaku ketua negeri yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara memainkan peranan penting dalam penentuan kerajaan negeri dengan memutuskan penukaran kerajaan daripada pakatan pembangkang kepada Barisan Nasional (BN) tanpa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam menangani krisis itu, pengalamannya dalam bidang perundangan membolehkan baginda membuat keputusan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negeri.

Almarhum yang diputerakan pada 19 April 1928 di Batu Gajah, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kerajaan Inggeris di Batu Gajah, sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Baginda kemudian meneruskan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang di University of Nottingham, United Kingdom, sebelum diterima sebagai ahli Lincoln's Inn, London, pada 23 November 1954.

Sekembali dari United Kingdom, baginda menyertai perkhidmatan kerajaan sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, sebelum meneruskan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan negara.

Hakim Mahkamah Tinggi Malaya


Pada usia 37 tahun, baginda mencipta sejarah kehakiman negara Komanwel, apabila menjadi individu paling muda dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, mulai 1965 sehingga 1972.

No comments:

Post a Comment