Ad

Thursday, 29 May 2014

Pusat Akuatik dibuka secara rasmi

 
SEBAHAGIAN atlet renang mula menjalani latihan di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Negeri, Kangar, Perlis semalam.

BUAT pertama kali, barisan atlet renang yang bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) 2014 berpeluang menjalani latihan di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Negeri, Kangar semalam.

Pusat Akuatik itu yang sebelum ini menimbulkan pelbagai persoalan gara-gara ia tidak dapat disiapkan pada masa ditetapkan selain tidak menepati beberapa piawaian antarabangsa, dibuka secara rasmi buat setiap kontinjen renang mulai pukul 4 petang.

Antara kontinjen yang terawal 'menguji' kolam renang di Pusat Akuatik tersebut ialah Selangor, Sarawak, Sabah dan Johor.

Bagaimanapun, bagi atlet terjun, mereka tidak berpeluang menjalani latihan di Pusat Akuatik itu semalam. Ini kerana air di kolam (bagi acara terjun) masih keruh, selain salah satu platform iaitu platform berketinggian lima meter perlu diubah suai.

"Seperti yang anda (pihak media) dapat lihat hari ini (semalam), beberapa pasukan renang telah mula menjalani latihan di sini. Bagi saya, kolam renang sudah tiada masalah berbangkit dan acara boleh berlangsung esok (hari ini).

"Bagaimanapun, atlet-atlet terjun masih tidak boleh menjalani latihan di sini kerana air di kolam belum mencapai standard yang sepatutnya. Pada masa sama, pihak kontraktor juga masih menyiapkan platform.

"Saya menjangkakan kerja-kerja pengubahsuaian platform itu dan masalah air (keruh) akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya malam ini (malam tadi)," jelas Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Edwin Chong semalam.

Beliau menambah, pihaknya serta penganjur juga tidak ada sebarang kekangan lagi untuk menunda acara akuatik Sukma 2014 yang sepatutnya dijadualkan bermula semalam.

"Bagi atlet-atlet terjun, mereka masih ada masa untuk menjalani latihan pagi esok (hari ini) sebelum acara terjun bermula. Jadi, saya berharap semua masalah yang timbul sebelum ini tidak akan lagi berbangkit," katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih skuad renang Selangor, Ong Jin Kooi berkata, beliau masih boleh menerima 'keadaan' di kolam renang tersebut walaupun anak-anak buahnya terpaksa menjalani latihan pada saat-saat akhir.

"Apa lagi pilihan yang kami ada. Kami harus menyesuaikan diri walaupun masa agak terhad untuk menjalani latihan di sini. Bagi saya, jika para perenang tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan ini, maka ia akan menjadi satu masalah.

"Namun, secara peribadi saya menganggap kolam renang di sini masih mengikut peraturan FINA (Persekutuan Renang Antarabangsa).

"Para perenang saya juga tidak memberi sebarang maklum balas negatif selepas mereka berlatih kira-kira 30 minit di sini," kata Jin Kooi.

Mengulas mengenai sasaran skuad renang Selangor pada Sukma kali ini, Jin Kooi berkata, mereka berharap dapat membawa pulang sekurang-kurangnya lima pingat emas.

Bagaimanapun, sasaran lima pingat emas itu dilihat agak rendah berbanding ketika skuad renang Selangor muncul juara keseluruhan pada Sukma 2012 di Pahang apabila mereka merangkul 11 emas.

"Kami harus realistik kerana pada Sukma kali ini, Selangor mempertaruhkan ramai perenang muda. Ini disebabkan beberapa perenang berpengalaman sudah bersara. Jadi, ramai perenang baharu dalam skuad renang Selangor," ujarnya.

Sandaran utama Selangor sudah pasti terarah kepada dua perenang kebangsaan, Shaun Yap yang akan beraksi dalam acara 50m, 100m dan 200m kuak dada lelaki serta Yap Siew Hui bagi 50m dan 100m kuak kupu-kupu wanita.
rujukan

http://www.kosmo.com.my/kosmo/29.5.2014

No comments:

Post a Comment