Ad

Saturday, 31 May 2014

Simbolik Istiadat Penghulu-Penghulu Luak Menghadap

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA PILAH (Bernama) -- Istiadat Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang menjadi satu daripada warisan budaya dan sejarah dalam pentadbiran beraja di Negeri Sembilan dizahirkan kembali setelah hampir lima tahun tidak diadakan.

Istiadat itu, yang dimulakan sejak 1898, adalah bagi mengulang taat setia Penghulu-Penghulu Luak kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebagai payung yang memerintah.

Penghulu Luak itu terdiri daripada Penghulu Luak Ulu Muar, Penghulu Luak Terachi, Penghulu Luak Gunung Pasir, Penghulu Luak Jempol dan Penghulu Luak Inas serta luak-luak kecil iaitu Luak Gemenceh dan Luak Air Kuning.

SEJARAH AWAL

Bertempat di Bandar Diraja Seri Menanti, kehadiran ribuan rakyat dari seluruh Negeri Sembilan serta pelancong luar memberi peluang untuk mendekati dan memahami istiadat Penghulu-Penghulu Luak Menghadap. Ia serentak dengan Pesta Persukuan Adat yang diadakan di halaman Istana Lama Seri Menanti, baru-baru ini.

Generasi tua, muda mahupun kanak-kanak datang untuk bersama-sama menyaksikan keunikan istiadat yang menjadi kebanggaan terutama pengamal dan pendukung Adat Perpatih di negeri yang mendapat jolokan Negeri Beradat.

Kali terakhir Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Menghadap diadakan pada 26 Okt, 2009 semasa istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sekarang, Tuanku Muhriz ibni AlMarhum Tuanku Munawir.

Mengikut sejarahnya, keputusan mengadakan istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap ini dipersetujui dalam kalangan datuk-datuk penghulu luak pada zaman pemerintahan Tuanku Muhamad pada tahun 1898.

Ketika itu diputuskan istiadat itu akan dilaksanakan setiap tiga tahun sekali, menurut Penyelaras Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti, Datuk Ibrahim Jahaya.

Ujar beliau, ia melibatkan penghulu-penghulu luak tanah mengandung, iaitu penghulu yang menjaga pentadbiran wilayah adat termasuk Istana Besar Seri Menanti, tempat bersemayamnya Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

Tujuannya adalah untuk memperbaharui taat setia dalam kalangan penghulu luak yang dipilih oleh anak buah dalam kawasan pentadbiran adat masing-masing, katanya.

"Setelah dilantik oleh anak buah, ada istiadat menyempurnakan perlantikan itu dengan datuk penghulu datang menghadap kepada tuanku serta melafazkan taat setia untuk menjaga pentadbiran adat di luak masing-masing.

"Setiap tiga tahun sekali mereka perlu datang menghadap kepada Tuanku untuk memperbaharui ikrar taat setia itu yang dipanggil Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap," katanya.

ATUCARA ISTIADAT

Selama tiga hari, Istana Besar Seri Menanti menerima kedatangan pemimpin-pemimpin adat yang mewakili anak buah (rakyat), kerabat-kerabat raja yang lengkap berpakaian istiadat, berbaju Melayu, bertanjak serta keris di pinggang.

Ia dimulakan dengan istiadat menurunkan alat-alat kebesaran.

Menurut Ibrahim, ia menjadi satu tatacara wajib yang harus dilakukan setiap kali berlakunya istiadat di Istana Besar Seri Menanti yang melibatkan Yang Dipertuan Besar.

Istiadat dimulakan setelah Yang Dipertuan Besar berkenan untuk menepung tawar dan memeriksa setiap alat kebesaran yang diletakkan di ruang tengah Istana Besar Seri Menanti.

Alat-alat kebesaran itu terdiri daripada lapan payung kuning, lapan keris panjang, lapan pedang panjang, empat panji-panji kuning, dua panji-panji merah, dua panji-panji hitam dan lapan tombak berambu.

Setelah mendapat titah perkenan tuanku, Pegawai 99 yang diketuai Datuk Setia Bijaya kemudian akan memasang alat kebesaran berkenaan di halaman istana.

Baginda turut sama menyaksikan istiadat pemasangan alat kebesaran itu dengan diiringi penghulu-penghulu luak.

Setelah kesemua payung kebesaran dikembangkan, tiga das tembakan meriam dilepaskan bagi menandakan istiadat menurun dan memasang alat kebesaran selamat disempurnakan, katanya.

ISTIADAT BERSIRAM

Pada hari kedua, Istiadat Bersiram pula dijalankan di Panca Persada yang terletak di luar kawasan Istana Besar Seri Menanti. Selain dihadiri Putera Yang Empat, kerabat-kerabat diraja dan kenamaan kerajaan, masyarakat di sekitar Negeri Sembilan turut tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan istiadat penuh sejarah itu.

Ia dimulakan dengan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Mukhriz dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, dihela (ditarik) menaiki kenderaan khas Takhta Rencana dari istana ke Panca Persada, sejauh kira-kira 400 meter.

Pegawai 99 yang didahului Datuk Setia Bijaya bersama 20 Pegawai 99 di hadapan, 20 orang di belakang serta 20 orang setiap kiri dan kanan ditugaskan menghela kedua-dua baginda.

Di atas Takhta Rencana pula, tuanku berdua bersemayam dengan diapit kiri dan kanan oleh Datuk Laksamana II yang memegang Padang Sebarau Bujang dan Datuk Kanda Maharaja memegang keris senawi. Manakala Datuk Mangku memegang Payung Kuning dan Datuk Bentara Perempuan membawa kipas keemasan.

Perarakan pada pagi itu, didahului kumpulan rebana sambil bersalawat, kemudian diikuti Pegawai 99 yang membawa alat kebesaran diraja serta dituruti pembawa cepu bedak limau oleh Datuk Raja Penghulu bersama Datuk Menti Laksamana.

Sebaik perarakan dimulakan, tembakan meriam sebanyak lapan das dilepaskan sehingga sampai ke Panca Persada dan tuanku berdua naik ke singgahsana.

Upacara dimulakan dengan Datuk Raja Penghulu yang membawa cepu bedak limau menyerahkannya kepada Datuk Menti Laksamana untuk diletakkan di atas meja di hadapan Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Besar.

Orang Empat Istana kemudian memulakan tujuh pusingan sambil membawa cepu bedak limau dengan mengelilingi tuanku berdua. Selesai pusingan itu, cepu bedak limau dipersembahkan kepada tuanku berdua dimulai oleh Datuk Seri Amar Diraja, Datuk Raja Diwangsa, Datuk Penghulu Dagang dan Datuk Akhir zaman secara bergilir-gilir dan tuanku berdua mencelup tangan setiap kali dipersembahkan.

Selesai istiadat itu, lapan das tembakan meriam dilepaskan bagi mengiringi perarakan keberangkatan balik tuanku berdua menaiki Takhta Rencana.

Ibrahim berkata mungkin ramai yang beranggapan adat bersiram itu sama seperti adat bersiram ketika majlis perkahwinan. Hakikatnya sangat berbeza, yang mana adat bersiram semasa perkahwinan dikenali sebagai adat bersiram mandi-manda. Manakala adat bersiram yang dijalankan oleh tuanku berdua adalah sebagai acara simbolik bagi menyucikan diri.

ISTIADAT MENGHADAP

Hari ketiga pula berlangsungnya kemuncak keseluruhan Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Menghadap yang diadakan secara tertutup di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti.

Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan yang bersemayam di singgahsana diapit oleh Tuanku Besar Seri Menanti dan Tuanku Muda Serting di sebelah kanan manakala Tuanku Laksamana, Tuanku Panglima Besar di sebelah kiri.

Sebaik Datuk Bentara Dalam mengisytiharkan istiadat Penghulu Luak dizahirkan, sebanyak 11 das tembakan meriam dilepaskan.

Datuk Penghulu Luak Ulu Muar mendahului menghadap dengan berkesot naik sebanyak tujuh tangga ke singgahsana. Apabila sampai di atas sekali, beliau mencium tangan Yang Dipertuan Besar sebanyak tiga kali sebelum berkesot untuk turun dari singgahsana.

Lafaz kemudian dibacakan dengan menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Yang Dipertuan Besar sebagai payung adat dan negeri.

Upacara itu kemudian dituruti oleh penghulu-penghulu Luak Terachi, Luak Gunung Pasir, Luak Inas dan Luak Jempol serta Luak Gemenceh dan Air Kuning.

"Inilah acara kemuncaknya bagi Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang cukup istimewa serta perlu dihayati sebagai tanda taat setia rakyat kepada raja.

"Nilai-nilai ini yang ingin diterapkan terutama kepada generasi muda hari ini dalam usaha memperkenalkan keindahan Adat Perpatih," katanya.

PENGALAMAN BAHARU

Bukan sahaja generasi muda, kebanyakan masyarakat di Negeri Sembilan semakin hari meminggirkan Adat Perpatih dalam kehidupan mereka.

Tidak menghairankan, ada segelintir di beberapa daerah di Negeri Sembilan telah hilang identii adat dan budaya yang dipegang selama ini.

Bagi Shahara Akmal Shahril, 19, dari Kampung Terachi, Pesta Persukuan Adat dan Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang diadakan itu memberi satu pendedahan baharu mengenai nilai-nilai murni serta keunikan yang terdapat dalam Adat Perpatih.

"Saya datang ke sini untuk mengetahui lebih lagi tentang Adat Perpatih. Saya rasa orang di Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih patut berbangga dengan adat dan budaya yang dimiliki.

"Persepsi negatif masyarakat luar terhadap Adat Perpatih disebabkan ketidakfahaman mengenai adat itu. Pendedahan melalui Pesta Persukuan Adat dan istiadat yang dijalankan ini sedikit sebanyak boleh membuka mata dan menjelaskannya", katanya.

Sementara itu, seorang daripada pelancong dari Medan, Indonesia, Syafizal S.Sos yang berpeluang menyaksikan istiadat bersiram turut mengakui keunikan adat yang dirasakan dekat di hatinya.

Keramahan masyarakat di sini membuatkan beliau seperti berada di kampung halaman sendiri selain adat dan istiadat yang tidak banyak berbeza.

"Memang tidak jauh seni dan budaya yang ada di Negeri Sembilan. Istiadat yang ada cukup indah dan unik untuk dikongsi bersama pelancong yang datang," katanya.


sumber-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment