Ad

Tuesday 27 May 2014

Elyas tak terkejut Malaysia kalah

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
 
TAN BOON HEONG (depan) dan Hoon Thien How yang digandingkan buat pertama kali pada kempen Piala Thomas baru-baru ini, telah menunjukkan rentak permainan yang terpuji walaupun gagal membantu skuad negara muncul juara kejohanan berprestij itu.

“SEGELINTIR pemain kita tidak dapat mengawal tekanan, akibatnya mereka mudah melakukan kesilapan yang mengundang kepada kekalahan.” Demikian pandangan bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar (gambar) semalam.

Menurutnya, kekalahan Malaysia kepada Jepun pada aksi final kejohanan badminton Piala Thomas 2014 Ahad lalu disebabkan kelemahan segelintir pemain yang tidak dapat mengawal tekanan dengan baik.

“Mereka telah mempamerkan aksi yang menakjubkan ketika menumbangkan juara 13 kali, Indonesia pada separuh akhir, namun kecundang 2-3 kepada Jepun yang mencipta sejarah tersendiri menjulang trofi Piala Thomas untuk pertama kali,” kata Elyas.

Elyas, 77, yang menjadi Presiden BAM pada tahun 1985 hingga 1993 menjelaskan, Jepun harus dilihat sebagai kuasa baharu terutama selepas kejayaan mereka melahirkan pemain-pemain yang konsisten pada kejohanan edisi ke-28 itu.

“Saya tidak terkejut Malaysia kalah dengan Jepun tetapi saya terkejut apabila Jepun menewaskan China kerana ini bermakna secara senyap-senyap mereka (Jepun) telah berjaya membentuk skuad Piala Thomas yang mantap.

“Pasukan kita juga bagus kerana memiliki semangat berjuang yang tinggi untuk beraksi, cuma mereka lemah mengawal diri, tidak bermain dengan tenang sehingga terlalu mudah hilang konsentrasi yang mengakibatkan mereka melakukan kesilapan mudah.

“Ketika beraksi pada pusingan separuh akhir, mereka bermain tanpa ada rasa risau, tidak kisah menang atau kalah tetapi apabila masuk final mereka macam tidak bersedia untuk melawan Jepun,” ujar Elyas yang menerajui BAM ketika skuad negara menjulang Piala Thomas pada tahun 1992.

Jepun ternyata mempunyai persiapan yang lebih rapi untuk muncul juara, malah pemain perseorangan kedua mereka, Kento Momota mengakui kemenangan mereka ke atas China bukan satu perkara yang istimewa.

Sebaik sahaja menewaskan China 3-0, pemain yang berada di ranking ke-14 dunia itu pernah berkata bahawa Jepun mempunyai sasaran yang lebih tinggi iaitu untuk muncul juara pada kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, Elyas yang juga merupakan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur yakin bahawa Malaysia masih mampu memberi persembahan baik pada Piala Thomas 2016 sekiranya pemain-pemain yang ada sekarang terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi mereka.



“Saya percaya, kalau mereka (BAM) asuh lagi pemain-pemain ini, mereka pasti boleh bertahan lagi tetapi kemahiran mereka harus terus diperkemaskan.

“Untuk membentuk pasukan baharu dalam tempoh dua tahun mungkin sukar tetapi buat pertukaran beberapa pemain memang boleh dengan syarat memperkemaskan skil dan cara mengawal tekanan.

“Kalau lihat pada aksi final itu, (perseorangan negara) Chong Wei Feng dan Liew Daren terlalu mudah hilang konsentrasi. Mereka juga tidak mempunyai banyak idea ketika beraksi.

“Mereka membuka ruang kepada lawan untuk menyerang dan sukar untuk mengubah corak permainan daripada bertahan kepada menyerang,” jelas Elyas lagi.

Pada aksi final itu, Malaysia meraih dua mata menerusi perseorangan pertama, Datuk Lee Chong Wei yang menewaskan Kenichi Tago 21-12, 21-16 dan kemenangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong ke atas beregu kedua Jepun, Keigo Sonoda-Takeshi Kamura 19-21, 21-17, 21-12.

Jepun meraih mata menerusi Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo yang menewaskan Tan Boon Heong-Hoon Thien How 12-21, 21-17, 21-19, Momota mengalahkan Wei Feng 21-15, 21-17 serta kemenangan mata penentuan menerusi Takuma Ueda yang menumpaskan Daren 21-12, 18-21, 21-17.

Kali terakhir Malaysia muncul juara pada kempen Piala Thomas 1992 selepas menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi final di Kuala Lumpur.

RUJUKAN KOSMO ONLINE 28.5.14

No comments:

Post a Comment