Oleh IKHWAN IDERIS
ikhwan.ideris@kosmo.com.my
FAIZOL (kanan) muncul wira
Pahang selepas menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada aksi separuh akhir
kedua Piala FA menentang Johor DT di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
PASUKAN berstatus bintang,
Johor Darul Takzim (Johor DT) rebah di kaki Tok Gajah apabila tewas 0-1 pada
aksi separuh akhir kedua kempen Piala FA 2014 di Stadium Darul Makmur, Kuantan
malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan
Pahang melangkah bergaya ke final dengan kelebihan agregat 2-1 selepas terikat
seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hasan Yunos Larkin,
Johor Bahru pada 5 Mei lalu.
Peluang beraksi di gelanggang
sendiri malam tadi dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak buah Zainal Abidin
Hassan itu yang tampil dengan aksi mantap di hadapan lebih 32,000 penyokong
fanatik mereka.
Gol tunggal perlawanan
dijaringkan Mohd. Faizol Hussain pada minit ke-81, sekali gus mengesahkan
Pahang ke final.
Pahang bakal bertemu pemenang
antara Kelantan dengan Felda United yang akan turun membuat perhitungan di
Stadium Shah Alam malam ini.
Final dijadualkan berlangsung
pada 7 Jun nanti sementara tempatnya akan ditentukan kemudian.
Kali terakhir pasukan Pahang
menjulang Piala FA ialah pada tahun 2006.
Pada perlawanan malam tadi,
kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan pantas dan memiliki peluang sama
rata untuk menghasilkan jaringan.
Namun, penyudah yang kurang
kemas menafikan mereka untuk memecah kebuntuan.
Tok Gajah mendapat peluang
terbaik untuk membuka jaringan menerusi R. Gopinathan pada minit keenam, namun
percubaannya tersasar.
Skuad Harimau Selatan turut
memperoleh peluang untuk melakukan jaringan menerusi penyerang import, Luciano
Gabriel Figueroa namun tandukannya hasil sepakan sudut daripada Safiq Rahim
pada minit ke-14 mudah dibaca penjaga gol Pahang, Mohd. Khairul Azhan Khalid.
Kedudukan seri tanpa jaringan
kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua,
jurulatih Johor DT, Bojan Hodak melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan
Safee Sali bagi menggantikan Amirul Hadi Zainal, namun perubahan tersebut tidak
membawa kelebihan kepada pasukan pelawat.
Gol yang dinanti-natikan
akhirnya hadir pada minit ke-81 dan Mohd. Faizol mudah menyempurnakannya
menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang terus menerjah di penjuru
kiri gawang lawan.
Selepas itu, Pahang terus
bertahan bagi memastikan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com. 31.5.14
No comments:
Post a Comment