M. SARAVANAN (depan) meninjau
keadaan pusat akuatik di Kompleks Sukan Negeri, Kangar yang masih belum siap
sepenuhnya semalam sehingga menyebabkan acara akuatik yang sepatutnya bermula
hari ini terpaksa ditangguhkan sehari.
KANGAR - Acara akuatik terpaksa
ditangguhkan sehari apabila kolam yang sepatutnya digunakan untuk acara renang
dan terjun masih gagal disempurnakan sehingga semalam.
Akibat kelewatan yang berlaku,
acara terjun dan renang yang dijadual berlangsung hari ini hanya akan dimulakan
esok kerana kerja-kerja menyiapkan infrastruktur tambahan bagi tujuan
keselamatan sedang dilaksanakan dan akan siap sepenuhnya dalam tempoh 24 jam.
Penangguhan itu membuatkan
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan kelihatan begitu kecewa
dan menyatakan kekesalannya terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) yang katanya
lepas tangan dan gagal memastikan pusat akuatik di Kompleks Sukan Negeri itu
siap mengikut jadual.
Beliau berkata, penangguhan ini
juga menjejaskan imej penganjuran temasya sukan terkemuka negara.
Katanya, JKR seharusnya
memastikan kelancaran pembinaan pusat akuatik itu dan perlu memantau
perkembangan semasa hingga ia siap sepenuhnya dan boleh digunakan.
"Ikutkan hati, memang saya
nak ambil tindakan ke atas kontraktor yang bertanggungjawab tetapi projek ini
bukan di bawah KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sebaliknya di bawah
tanggungjawab JKR.
"JKR seperti lepas tangan,
Saya tidak nampak wakil kontraktor utama di sini dan saya juga tidak nampak
wakil JKR untuk memastikan tempat ini benar-benar selamat untuk digunakan. Saya
boleh kata selamat tetapi siapa boleh sahkan? Wakil JKR seharusnya ada di sini
untuk memastikannya," katanya selepas melawat pusat itu semalam.
Saravanan berkata, venue
tersebut secara umumnya sudah boleh digunakan tetapi beberapa ciri
keselamatan perlu ditambah bagi memastikannya benar-benar selamat dan selesa
untuk kegunaan para atlet yang bertanding.
"Kalau dilihat, sudah
boleh digunakan tetapi ada kerja tambahan infrastruktur sedang dilakukan untuk
tujuan keselamatan tambahan kerana venue ini akan digunakan para atlet muda
yang kurang berpengalaman, kalau atlet berpengalaman tiada masalah,"
katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah
Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, keputusan untuk
menangguhkan acara itu selama sehari dibuat demi keselamatan atlet.
Katanya, penundaan tarikh
pertandingan sukan akuatik itu akan menyaksikan perubahan pada jadual
pertandingan asal namun tidak akan menjejaskan kualiti mahupun jumlah acara
yang dipertandingkan.
"Pertandingan sukan
akuatik juga hanya dilewatkan sehari tetapi jumlah acara dan pingat yang
ditawarkan tidak berubah. Kami akan menjadualkan semula pertandingan sukan
akuatik daripada lima hari kepada empat hari," katanya.
RUJUKAN
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140528/su_01/Kolam-tak-siap-acara-ditunda-sehari#ixzz32xuEJDge
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment