Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
berkenan membaca watikah pelantikan sebagai Sultan Perak pada Istiadat
Pengisytiharan Sultan Perak yang baharu di Balairong Seri Istana Iskandariah,
Kuala Kangsar, semalam. - BERNAMA
IPOH 29 Mei - Sultan Nazrin
Muizzuddin Shah, 58, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah yang dilantik
sebagai Sultan Perak yang baharu, adalah seorang yang bijaksana dan berjiwa
rakyat.
Berkelulusan doktor falsafah
dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan daripada Harvard University, baginda
diisytiharkan sebagai Sultan Perak yang baharu pada istiadat pelantikan dan
perisytiharan yang diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah sebelum
istiadat pemakaman ayahanda baginda.
Keputusan melantik baginda
sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas Dewan Negara Perak
petang semalam yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen.
(B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berikutan kemangkatan Sultan Azlan Shah
semalam.
Sultan Nazrin Shah yang
berkahwin dengan Tuanku Zara dan mempunyai seorang putera Raja Azlan Muzaffar
Shah, empat tahun dan seorang puteri Raja Nazira Safya, dua tahun, dilantik
sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai
Sultan Perak ke-34 pada 16 Feb 1984.
Mengikut hirarki sistem
penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah di tempat
ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.
Sementara itu, kedudukan di
bawah Raja Kecil Besar adalah Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah dan Raja
Kechil Bongsu.
Pada 1987 apabila Raja Muda
Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham
Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada
Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.
Semasa ayahanda baginda
dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah telah dilantik
sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.
Sultan Nazrin Shah yang
mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, telah
melanjutkan pelajaran menengah di St. John Institution.
Baginda memperoleh Ijazah
Sarjana Muda (Kepujian) Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Oxford
University.
Sekembalinya dari luar negara,
baginda bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.
Baginda kemudian melanjutkan
pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam di Kennedy School
of Government, Harvard University.
Sultan Nazrin Shah yang
merupakan Pro-Canselor Universiti Malaya adalah juga Felo Kehormat Kolej
Worcester, Oxford University.
Pada tahun lepas, baginda
dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Oxford University serta
Ahli Pemegang Amanah Pusat Kajian Islam Oxford University.
Selain itu, Sultan Nazrin Shah
merupakan Felo ISIS (Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia)
Terbilang.
Baginda juga merupakan Yang
Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Duta Kewangan Pusat Kewangan
Islam Antarabangsa (MIFC).
Mengikuti jejak ayahandanya,
Sultan Nazrin Shah pernah memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia
selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.
Baginda pernah menerima
Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation
berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberi kepada individu untuk
khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global
2012.
Terkenal dengan sifat merendah
diri dan berjiwa rakyat, baginda turut mengejutkan banyak pihak apabila menolak
dengan hormat peruntukan kerajaan negeri untuk urusan perkahwinan pada 2007. -
BERNAMA
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140530/dn_01/Sultan-Nazrin-Sultan-Perak-Ke-35#ixzz339AXQTMM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment