Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
IRFAN berharap agar pemainnya
selesaikan urusan dengan Kelantan dalam tempoh 90 minit.
PASUKAN berstatus kelab, Felda
United hanya selangkah untuk mara ke pentas final Piala FA buat kali pertama
ketika melayan kunjungan juara bertahan, Kelantan dalam aksi separuh akhir
kedua di Stadium Shah Alam, malam ini.
Atas kertas, skuad kendalian
Irfan Bakti Abu Salim memiliki kelebihan berdasarkan peraturan gol di tempat
lawan apabila berjaya mengikat The Red Warriors seri 3-3 di Kota Bharu awal
bulan ini.
Justeru, beliau optimis skuad
kendaliannya mampu menjinakkan Kelantan sekali gus mara ke pentas final buat
kali pertama, selain percaya pemenang malam ini juga bakal ditentukan dalam
tempoh 90 minit masa sebenar permainan.
"Kami memiliki kelebihan
dua gol di tempat lawan, jadi saya optimis perlawanan ini tidak akan diheret ke
masa tambahan.
"Keputusan seri 1-1 dan
2-2 mungkin boleh berlaku (malam ini), tetapi agak mustahil perlawanan itu
bakal berakhir dengan keputusan seri 3-3 sehingga memaksa perlawanan
dilanjutkan mahupun ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
"Jadi, saya berharap para
pemain mampu menamatkan cabaran Kelantan dalam tempoh 90 minit masa sebenar
perlawanan," katanya kepada Kosmo! semalam.
Irfan juga kekal tenang dan
mahu barisan pemain The Settlers beraksi tanpa sebarang tekanan biarpun
menjangkakan serangan bertali-arus yang bakal dilancarkan pasukan pelawat malam
ini.
"Sudah tentu Kelantan akan
menyerang habis-habisan bagi memburu gol awal.
"Cuma harus diingat, kami
juga tidak akan bertahan sepanjang masa.
"Justeru, saya harap
pemain dapat memburu gol awal sekali gus mengurangkan sebarang tekanan untuk
mara ke final," katanya.
Irfan berkata, ketiadaan dua
tonggak utama The Settlers, Shahrulnizam Mustapha dan Zah Rahan Krangar ekoran
kecederaan lutut dan penggantungan kad kuning kedua juga tidak menjejaskan
percaturan beliau kali ini.
"Saya masih memiliki
pemain berkualiti seperti Shukor Adan yang mampu menguasai jentera tengah
dengan berkesan.
"Soal sama ada bertemu
Pahang mahupun Johor Darul Takzim juga bukan menjadi keutamaan kami buat masa
ini, sebaliknya kami harus menewaskan Kelantan terlebih dahulu sebelum
mencongak siapa lawan di final kelak," jelas beliau.
No comments:
Post a Comment