Oleh – AHMAD BIN YAAKOB
Definisi Masyarakat Agraria
Masyarakat Agraria bergantung kepada kegiatan pertanian sebagai sumber
kehidupan mereka. Masyarakat agraria mengutamakan aktiviti bercucuk tanam dan
penternakan sebagai sumber ekonomi mereka.Masyarakat agraria menetap di kawasan
pertanian yang subur dan sesuai untuk menjalankan kegiatan pertanian. Mereka
tinggal di kawasan lembah sungai yang mempunyai mendapan tanah lanar yang
subur. Perubahan secara besar-besaran dalam kegiatan agraria bermula di England
pada abad ke-18. Perubahan-perubahan ini meletakkan asas bagi kelahiran Revolusi
Pertanian. Revoluis Pertanian seterusnya tersebar ke kawasan-kawasan di seluruh
Eropah dan Amerika Syarikat. Thomas Jefferson mempromosikan pembentukan
masyarakat agraria di Amerika Syarikat pada peringkat awal penubuhan negara
tersebut.[1]
Masyarakat Agraria di Belanda pada abad ke-16 dan 17.
Kajian menunjukkan Belanda mengalami perkembangan pesat dalam
bidang pertanian pada abad ke-16 dan ke-17. Catatan pengembara dari England,
Perancis, Jerman, Itali dan Sweden yang
melawat Belanda pada abad ke-16 dan ke 17 membuktikan kenyataan tersebut.
Masyarakat Belanda menggunakan kaedah dan teknik pertanian yang lebih maju
berbanding dengan negara-negara Eropah yang lain.
Selain dari itu mereka juga memperkenalkan pelbagai jenis tanaman
seperti biji kol, semanggi dan hop ke negara Eropah. Belanda juga membekalkan
hasil pertanian dan produk tenusu ke negara-negara lain sejak abad ke-16 dan ke
17 lagi. Perkembangan pesat dalam aktiviti pertanian dan penternakan
menyebabkan muncul masyarakat agraria di Belanda.
[1]Sivachandralingam
Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah
Dunia 1500-1955 (Shah Alam: Oxford Fajar 2013),hlm.22.
No comments:
Post a Comment