Ad

Tuesday 27 May 2014

Ahmad Shabery puji semangat juang pasukan badminton Malaysia

KUALA LUMPUR 26 Mei - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memuji pasukan badminton negara kerana menunjukkan semangat juang yang tinggi semasa menentang Jepun pada perlawanan akhir Piala Thomas, semalam.

Beliau berkata, meskipun agak kecewa kerana kalah dengan mata yang tipis, pasukan itu telah memberikan harapan baharu kepada Malaysia untuk kembali mengungguli sukan itu di persada antarabangsa.

"Kita juga optimis bahawa Malaysia boleh muncul juara dan merampas kembali Piala Thomas di masa depan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Dialog Pakar Berkaitan Pemantauan Masa Nyata Penerbangan, Termasuk Kotak Hitam di sini, hari ini.

Ahmad Shabery juga memuji permainan yang ditunjukkan kapten pasukan Liew Daren yang telah menunjukkan corak permainan berbeza, meskipun tewas kepada pemain Jepun Takuma Ueda pada set penentuan.

"Saya mengikuti permainan Liew Daren sejak beliau bermain secara beregu, di mana beliau sering menghadapi masalah apabila berhadapan dengan tekanan, dan semalam beliau memberikan corak permainan matang terutamanya pada set kedua dan ketiga," katanya.

Semalam, Malaysia gagal menamatkan kemarau 22 tahun Piala Thomas selepas tewas 2-3 kepada Jepun pada perlawanan akhir yang berlangsung di New Delhi, India.

Kali terakhir Malaysia layak ke perlawanan akhir ialah pada 12 tahun lepas di Guangzhou, China, namun tewas 2-3 kepada Indonesia. - BERNAMA
RUJUKAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140527/su_14/Ahmad-Shabery-puji-semangat-juang-pasukan-badminton-Malaysia#ixzz32xVks5ry

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment