27 Mei 2014
MH370
KUALA LUMPUR - Waris penumpang
pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas meminta
pihak MAS memberi penjelasan kepada keluarga pesawat berkenaan berhubung data
belum diproses laporan satelit yang dikeluarkan oleh firma United Kingdom
Inmarsat hari ini.
Selamat Omar, 60, bapa kepada
penumpang yang dikenali sebagai Mohd Khairul Amri, berkata beliau menerima
e-mel selain panggilan telefon daripada pihak MAS sekitar pukul 9.30 pagi
berhubung data tersebut.
"Dari e-mel yang diterima,
saya mendapati data yang dikeluarkan adalah sama seperti mana dalam operasi
menyelamat dan mencari dahulu.
"Tiada apa yang boleh
dikesan untuk dijadikan panduan dan maklumat terbaru dari e-mel tersebut,"
katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, S.Thenmoli, 26,
adik perempuan kepada S.Puspanathan mengesahkan pihaknya tidak menerima
sebarang maklumat terkini daripada MAS.
"Sehingga kini, saya tidak
terima apa-apa maklumat terbaru sejak taklimat terakhir April lepas.
"Saya pun tidak mengetahui
yang laporan data satelit diedarkan kepada waris keluarga hari ini,"
katanya.
Jabatan Penerbangan Awam (DCA)
hari ini mengeluarkan data satelit belum diproses Inmarsat setebal 45 muka
surat yang diguna untuk mengesan pola penerbangan pesawat Malaysia Airlines
MH370 yang hilang.
Dalam kenyataannya, DCA berkata
log data komunikasi daripada Inmarsat, syarikat komunikasi satelit Britain itu,
dan keterangan mengenainya, dikeluarkan untuk membolehkan pembaca memahami data
berkenaan.
Menurut kenyataan itu, log data
yang disertakan bersama nota tambahan Log Unit Isyarat (9M-MRO) bagi MH370
disediakan Inmarsat.
Penerbangan MH370 bersama-sama
239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada
skrin radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Pesawat Boeing 777-200ER itu
sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Gerakan mencarinya, yang
melibatkan bantuan beberapa negara dilancarkan, pada mulanya di Laut China
Selatan dan kemudian di Lautan Hindi apabila pesawat itu dikatakan melencong
daripada laluan asalnya.
Apabila analisis terhadap data
satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu di Lautan Hindi, Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 25 Mac bahawa Penerbangan
MH370 'berakhir di selatan Lautan Hindi.' – Bernama
SINAR HARIAN ONLINE 27.5.14
No comments:
Post a Comment