Oleh HASHNAN ABDULLAH
BULAN Rejab adalah antara empat
bulan suci yang telah Allah SWT tetapkan sejak diciptakan-Nya langit dan bumi.
Selain itu, kedatangan bulan Rejab juga menandakan bulan Ramadan hampir tiba.
Firman Allah SWT di dalam surah
al-Taubah ayat 36 yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi
(hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa
Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.
Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya
diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar
larangan-Nya)....
Justeru, Allah SWT telah
mengurniakan kepada manusia empat bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yang
disepakati semua ulama, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Umat
Islam adalah diharamkan pergi berperang dalam bulan-bulan tersebut, kecualilah
jika mereka diugut.
Walaupun tidak ada ibadat
khusus yang disyariatkan pada bulan Rejab tetapi ia tetap dianggap istimewa
kerana di dalamnya berlaku syariat dan beberapa peristiwa penting. Antara yang
paling diingati dan diraikan oleh umat Islam, acap kali tibanya Rejab ialah
peristiwa Israk dan Mikraj.
Pensyarah Fakulti Syariah dan
Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi
menjelaskan, peristiwa itu penting kerana umat Islam mula diwajibkan
melaksanakan solat lima waktu.
Ibadat solat merupakan salah
satu daripada rukun Islam yang lima dan merupakan amalan terpenting dan ia
adalah soalan pertama yang akan ditanya kepada setiap umat manusia apabila mati
kelak," katanya ketika ditemui di USIM, baru-baru ini.
Bagaimanapun, terdapat beberapa
lagi peristiwa penting dalam bulan Rejab yang bukan hanya dikhususkan untuk
amal ibadat tetapi juga falsafah di sebalik peristiwa tersebut.
Selain Israk dan Mikraj, bulan
Rejab turut menyaksikan berlakunya hijrah pertama dalam Islam, Perang Tabuk,
pembebasan Baitul Maqdis oleh Shalahuddin Al-Ayubi dan lahirnya Imam Syafie.
1. Hijrah pertama dalam Islam
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)
itu berlaku pada tahun kelima kenabian atau 615 Masihi ke Habsyah dan ia
berlaku berikutan peningkatan tekanan dan ancaman kepada baginda Rasulullah SAW
dan mereka yang beriman kepada Allah SWT.
Menurut Lukmanul Hakim,
walaupun hijrah itu hanya membabitkan 14 orang tetapi ia sebagai satu usaha
terpenting baginda untuk menyelamatkan iman umat Islam daripada terjejas
berikutan peningkatan ancaman dan penderitaan saban hari.
Selain itu, tambahnya, hijrah
itu juga sebagai satu usaha untuk merancang penyebaran agama Islam di Mekah dan
tempat lain.
Rasulullah sedar bahawa agama
Islam baharu sahaja hendak berputik di Mekah tetapi hampir setiap hari baginda
SAW mengetahui pengikutnya didera atau menerima ancaman yang menakutkan.
Jadi, Rasulullah SAW bimbang
ancaman sedemikian akan menyebabkan pengikutnya kembali kepada agama asal, jika
tidak ada usaha membawa mereka keluar dari kota Mekah," katanya.
2. Israk dan Mikraj
Peristiwa perjalanan Rasulullah
SAW itu sudah menjadi begitu sebati dengan jiwa setiap umat Islam. Kisah itu
sering menjadi topik utama kuliah, ceramah atau tulisan keagamaan setiap kali
menjelang 27 Rejab.
Bagi Lukmanul Hakim, walaupun
wujud perdebatan berhubung peristiwa terpenting itu tetapi umat Islam
sepatutnya melihat falsafah terjadinya perjalanan Rasulullah SAW itu.
Biarlah perdebatan itu berlaku
dalam kalangan para ulama tetapi sebagai umat Islam, kita perlu memahami bahawa
peristiwa itu bukan hanya sebagai bermulanya perintah solat fardu lima kali
sehari semalam.
Tetapi melalui peristiwa itu,
kita ditunjukkan balasan ke atas setiap perbuatan kita semasa masih hidup,
sejauh manakah kesetiaan kita kepada agama Islam, bahawa dunia hampir kiamat
dan apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi penghuni syurga,"
katanya.
3. Peperangan Tabuk
Peperangan yang berlaku pada
tahun kesembilan Hijrah itu bukan sekadar melambangkan penguasaan Islam
sepenuhnya ke atas Semenanjung Tanah Arab kerana Tabuk terletak di kawasan
paling utara semenanjung itu.
Tetapi peperangan yang
dimenangi oleh Islam tanpa pertumpahan darah itu memberi gambaran tentang
kekuatan iman dan semangat umat Islam dalam mempertahankan maruah agama yang
dihina oleh musuh Islam.
Bangsa Rom memandang rendah
dan begitu sombong untuk menewaskan tentera Islam di Tabuk kerana mereka menganggap
dalam keadaan pelbagai rintangan.
Di antaranya cuaca yang sangat
panas, perjalanan beratus-ratus kilometer, bekalan air dan makanan yang
terbatas, di samping kepenatan dan keletihan perjalanan yang jauh itu.
Tetapi mereka tidak menyangka,
kedatangan tentera Islam yang begitu ramai dan bersemangat tinggi, di samping
diketuai sendiri oleh Rasulullah SAW," katanya.
4. Pembebasan dan
kejatuhan Baitul Maqdis
Baitul Maqdis yang mula dibuka
pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar bin Al Khattab r.a dan berjaya
mempertahankan kota suci ketiga itu selama 500 tahun itu adalah sebagai
permulaan kejatuhan Islam.
Selepas itu, kota suci tersebut
ditawan kembali oleh musuh Islam dan mereka mempertahankannya selama 50 tahun,
sebelum Salahuddin Al-Ayubi merampas semula kota itu pada 27 Rejab 583 Hijrah.
Namun, selepas 760 tahun
peristiwa pembebasan itu iaitu pada 28 Rejab 1342 Hijrah atau 1924 Masihi,
sistem Khalifah Islamiah dihapuskan secara rasmi oleh Mustafa Kamal Pasha
Antartuk di Turki.
Penghapusan tersebut
menyebabkan konsep ukhuwah dalam kalangan umat Islam yang dibentuk oleh
Rasulullah SAW telah hilang dan kesannya, pada tahun 1967 Masihi (1387 Hijrah),
Baitul Maqdis jatuh semula kepada musuh Islam sehingga kini.
5. Lahirnya Imam Syafie
Menurut Lukmanul Hakim,
kelahiran imam Syafie pada 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di Gaza, Palestin
itu sebagai permata yang berharga kepada umat Islam pada hari ini.
Apa tidaknya, Imam Syafie
merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah
antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab Syafie.
Kehebatan beliau dalam dunia
ilmu dikagumi oleh semua orang termasuk guru-gurunya sendiri. Imam Ahmad Bin
Hanbal pernah berkata: Imam Syafie itu ibarat matahari bagi dunia."
Salah satu peninggalan beliau
yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga
hari ini ialah Kitab Al Umm," katanya.
RUJUKAN
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140527/ba_02/Lima-peristiwa-penting-di-bulan-Rejab#ixzz32xYFvgnd© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment