Ad

Saturday 31 May 2014

The Settlers pahat sejarah

 
Oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.co.my

Indra Putra Mahayuddin dan rakan-rakan sepasukan meraikan kejayaan mara ke final Piala FA selepas menyingkirkan Kelantan di Stadium Shah Alam, malam tadi. MINGGUAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
SHAH ALAM - Felda United memahat sejarah apabila menempah pertemuan akhir Piala FA menentang Pahang, Sabtu depan selepas mengejutkan gergasi bola sepak tempatan, Kelantan pada separuh akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2 dan kedua-dua pasukan terikat menerusi agregat 5-5, namun skuad Sang Peneroka atau turut dikenali sebagai The Settlers layak menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Kejayaan mengikat Kelantan 3-3 pada separuh akhir pertama di Kota Bharu pada 6 Mei lalu, menjadi kunci kejayaan skuad The Settlers melangkah ke Stadium Bukit Jalil dalam final yang penuh berprestij, minggu depan.

Turun dengan status pasukan Liga Perdana tidak sedikit pun mengurangkan keyakinan Felda untuk menyaingi reputasi besar Kelantan.

Sebaliknya sokongan padu yang diberikan lebih 5,000 penyokong setia telah menaikkan semangat mereka.

Kelantan dikejutkan oleh Felda United selepas pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-20.

Indra menanduk bola yang ditepis penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat ketika cuba menyelamatkan percubaan kapten The Settlers, Mohd. Shukor Adan.

Namun kedudukan itu tidak kekal lama selepas pemain jersi 23, Mohd. Izuan Rosli menyamakan kedudukan apabila rembatannya gagal ditahan dengan kemas oleh penjaga gol Felda, Mohd. Farizal Harun.

Penyokong Kelantan semakin gembira selepas pemain kebangsaan Liberia, Francis Forkey Doe meletakkan pasukan kesayangan mereka di hadapan apabila dia berjaya merembat bola tepat ke gawang gol selepas gagal dikawal rapi oleh benteng pertahanan Felda.

Permainan bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan membuat asakan bertalu-talu sehingga pemain import Felda, Edward Junior Wilson menyumbat gol cantik dari luar kotak penalti meletakkan pasukannya seri 2-2 sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, jurulatih Kelantan, George Boateng melakukan perubahan teknikal dengan mengukuhkan jentera pertahanan apabila memasukkan Nik Mohd. Shahrul selepas mengeluarkan Mohd. Nazri Ahmad pada minit ke-58.

Jurulatih Felda, Irfan Bakti Abu Salim membuat dua pertukaran dengan mengeluarkan Makeche Ndumba dan Mohd. Raimi Mohd. Noor untuk diganti oleh K.Thanaraj dan Ahmad Syamim Yahaya bagi melancarkan corak permainan pasukannya.

Pencarian gol semakin sukar apabila kedua-dua pasukan saling menampilkan corak pantas dan memiliki peluang sama rata.

Felda kini mengikut jejak Sime Darby yang menjadi pasukan berstatus kelab pertama berjaya melayakkan diri ke final Piala FA pada 2012.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140601/su_01/iThe-Settlersi-pahat-sejarah#ixzz33MA45vQr © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment