Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my
Sultan Azlan Shah (duduk paling
kiri) bersama rakan-rakan baginda dalam pasukan hoki University Nottingham
(1951-1952).
KUALA LUMPUR - Almarhum Sultan
Azlan Shah bukan hanya menaruh minat yang mendalam terhadap hoki malah sering
mencemar duli untuk menzahirkan sokongan moralnya kepada mana-mana atlet sukan
lain setiap kali berlangsungnya temasya sukan besar.
Ketua Pengarah Majlis Sukan
Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, beliau pernah beberapa kali
menemani Almarhum yang bukan hanya menonton aksi atlet di padang malah melawat
mereka di perkampungan Sukan Olimpik atau Sukan Asia.
"Almarhum memang mudah
didekati dan seorang yang merendah diri tetapi tidak banyak bercakap.
Kemangkatannya satu kehilangan besar kepada sukan tempatan, terutama sukan hoki
Malaysia dan dunia.
"Ketokohannya sebagai
pemimpin sukan memang tiada tolok bandingnya dan saya rasa tiada orang yang
lebih layak untuk digelar Bapa Hoki Malaysia kecuali Almarhum," katanya.
Bagaimanapun, beliau berharap
kemangkatan Sultan Azlan Shah tidak melemahkan semangat pemain-pemain hoki yang
akan berjuang dalam Piala Dunia di The Hague, Belanda, sebaliknya membuktikan
sesuatu sebagai penghormatan terakhir mereka kepada baginda, yang menjadi
Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selama lebih 41 tahun.
Zolkples juga memaklumkan,
pihaknya telah mengarahkan agar bacaan Al-Fatihah dan bertafakur selama seminit
diadakan sebelum setiap acara Sukan Malaysia XVII yang sedang berlangsung di
Perlis dimulakan sebagai penghormatan kepada Almarhum Sultan Azlan Shah.
"Bagi upacara penyampaian
pingat Sukan Malaysia jika melibatkan atlet Perak, bendera negeri itu akan
dinaikkan separuh tiang," katanya.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140529/su_01/Negara-kehilangan-Bapa-Hoki-Malaysia#ixzz3345t6OtM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment