SARAVANAN (tengah) ditemubual
oleh wartawan ketika meninjau insiden bumbung kanvas yang terkoyak di Pusat
Akuatik, Kompleks Sukan Negeri, Kangar semalam.
"BERHATI-HATI memilih
kontraktor." Itu jawapan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M.
Saravanan ketika diajukan pertanyaan mengenai insiden bumbung kanvas di Pusat
Akuatik di Kompleks Sukan Negeri, Kangar terkoyak kelmarin.
Bagaimanapun, Saravanan tidak
mahu menuding jari kepada mana-mana pihak termasuk kontraktor dan Jabatan Kerja
Raya (JKR) Perlis ekoran insiden itu yang dilihat merencatkan sedikit
perjalanan temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2014 ketika ini.
"Saya telah meminta JKR
(Perlis) mengkaji dahulu apa sebenarnya punca masalah ini (bumbung kanvas
terkoyak) berlaku. JKR (Perlis) harus mengenal pasti masalah ini berpunca
daripada hujan atau sebab-sebab lain.
"Buat masa ini, masih
terlalu awal untuk saya menyalahkan mana-mana pihak. Biar JKR (Perlis) buat
kerja mereka. Ini (insiden bumbung kanvas terkoyak) sebab hujan atau kualiti
(kanvas) yang rendah," jelas Saravanan ketika ditemui pemberita di Pusat
Akuatik semalam.
Mengakui kecewa dengan
kontroversi terbaharu di Pusat Akuatik itu, Saravanan turut menegaskan, beliau
tidak boleh menerima alasan insiden tersebut berlaku disebabkan hujan sehingga
menyebabkan bumbung kanvas terkoyak dua.
"(Seperti) ada sesuatu yang
tidak kena. Masalah ini hanya berlaku di sini (Pusat Akuatik) dan bukannya di
setiap venue (Sukma 2014)," tegas Saravanan yang enggan membuat andaian
bahawa insiden itu berpunca daripada unsur-unsur sabotaj.
Terdahulu, Saravanan ditemani
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, Naib
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo serta pihak
sekretariat Sukma 2014 melakukan lawatan kira-kira 40 minit di Pusat Akuatik
itu.
Zolkples dan Beng Choo turut
memberi penerangan kepada Saravanan mengenai insiden tersebut sehingga
menyebabkan 10 acara renang final terpaksa ditangguhkan 30 minit bagi
membolehkan pihak kontraktor membuka kesemua bumbung kanvas itu.
Insiden itu terjadi selepas
kira-kira 10 minit hujan pada pukul 2.05 petang semalam, sehingga menyebabkan
kanvas itu terkoyak di bahagian tengah kerana tidak dapat menampung lebihan
takungan air.
"Saya berterima kasih
kepada MSN, JKR (Perlis) kerana dapat menguruskan situasi ini dengan baik. Apa
yang paling penting, aspek-aspek keselamatan harus menjadi keutamaan,'' ujar
Saravanan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com. 31.5.14
No comments:
Post a Comment