NOORHAFIZA CHE ABDULLAH
26 Mei 2014
Gandingan Tan Wee Kiong (kanan)
dan Goh V Shem menghidupkan harapan Malaysia apabila mengutip mata penyamaan
bagi mengheret Jepun ke perlawanan penentuan. Gandingan Tan Wee Kiong (kanan)
dan Goh V Shem menghidupkan harapan Malaysia apabila mengutip mata penyamaan
bagi mengheret Jepun ke perlawanan penentuan.
KAPTEN Piala Thomas, Liew Daren
gagal merealisasikan impian jutaan rakyat Malaysia untuk menamatkan kemarau 22
tahun menjulang trofi berprestij itu apabila gagal menyumbang mata kemenangan
sekali gus menyaksikan skuad negara tewas 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan
final di Stadium Siri Fort, New Delhi, India malam tadi.
Daren yang tewas dalam dua
perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini sekali lagi gagal untuk menebus
kesilapan itu apabila ditundukkan Takuma Ueda 12-21, 21-18 dan 17-21 dalam
pertarungan yang penuh mendebarkan.
Kekalahan ini sekali gus
mengulangi perlawanan final di Guangzhou 2002 apabila skuad negara tewas 2-3
kepada Indonesia.
Untuk rekod, kali terakhir
Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada kejohanan 1992 di Kuala Lumpur.
Terdahulu, seperti biasa, Datuk
Lee Chong Wei melunaskan janjinya apabila mengungguli mata pertama perlawanan
itu menewaskan perseorangan pertama Jepun, Kenichi Tago 21-12 dan 21-16 dalam
masa 45 minit.
Bagaimanapun, peluang skuad
negara untuk menambah mata tidak kesampaian apabila Tan Boon Heong-Hoon Thien
How tewas kepada Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo
21-12, 17-21 dan 19-21 pada aksi kedua pertemuan itu.
Situasi kem negara semakin
mendebarkan setelah harapan yang diletakkan kepada perseorangan kedua negara,
Chong Wei Feng untuk menambah mata kedua tidak kesampaian apabila turut tumpas
15-21 dan 17-21 kepada Kento Momota sekali gus menyebabkan Malaysia ketinggalan
1-2.
Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga
cemas seketika apabila tewas kepada Keigo Sonoda-Takeshi Kamura di set
pembukaan, namun bangkit dengan persembahan lebih baik dalam dua set berikutnya
untuk menang 19-21, 21-17 dan 21-12.
Kejayaan V Shem-Wee Kiong gagal
menyuntik semangat Liew Daren selaku perseorangan ketiga apabila ditumbangkan
Ueda.
Untuk rekod, Malaysia menjuarai
Piala Thomas pada tahun 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992.
RUJUKAN-SINAR HARIAN ONLINE
26.5.14
No comments:
Post a Comment