Bagan Serai: “Dia begitu teruja
menanti kenduri kahwin kami Ahad ini dengan semua barang hantaran sudah
disiapkan.”
Demikian kata Norfaizah Mohd
Rejab, 22, tunang kepada Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, yang terbunuh
ketika bertugas selepas motosikalnya dirempuh penjenayah di Jalan Bagan
Serai-Alor Pongsu, jam 1.15 petang semalam.
Lebih menyedihkan, kejadian berlaku
hanya selepas kira-kira dua jam mangsa menghubungi Norfaizah dan selepas dua
hari arwah menyambut hari jadinya.
Semalam adalah hari terakhir
Mohd Azuan, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, bekerja sebelum
bercuti panjang untuk berkahwin.
“Saya hampir pitam mendengar
berita kematiannya kerana lebih kurang jam 11 pagi (semalam), dia mengirimkan
SMS meminta saya makan ubat jika berasa kurang sihat.
“Saya tidak menyangka
perkenalan sejak kira-kira empat tahun lalu berakhir dengan cara begini,”
katanya.
Norfaizah bagaimanapun reda
dengan pemergian arwah dan berharap pengorbanannya ketika berkhidmat kepada
masyarakat mendapat ganjaran sewajarnya.
“Sekarang semuanya ibarat ‘nasi
sudah menjadi bubur’ dengan majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung di
Alor Setar, Kedah, hujung minggu ini, bertukar menjadi kenduri arwah,” katanya
ketika ditemui semalam.
Mohd Azuan dan dua rakan
masing-masing menaiki motosikal Kawasaki Ninja Unit Ronda Bermotosikal (URB)
mengejar sebuah kereta Toyota Wish dinaiki tiga penjenayah yang dipercayai
terbabit dalam rompakan van rokok di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu, dekat situ.
Ketua Polis Daerah Kerian,
Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata motosikal mangsa dipercayai dirempuh
sebuah kereta Honda Civic dinaiki rakan penjenayah itu.
Mangsa yang cedera parah di
kepala, dada dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian
manakala dua lagi rakannya tidak cedera.
Katanya, berdasarkan jarak
pelanggaran dan kedudukan motosikal ditemui, polis percaya kejadian itu
disengajakan dan dirancang.
“Polis masih mengesan suspek
dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan
Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu
sehingga berlaku kematian.
“Saya juga terkilan tidak
sempat bertemu arwah atas kesibukan kerja, sedangkan dia beberapa kali
menyatakan hasrat bertemu saya bagi menyerahkan kad jemputan perkahwinan,”
katanya.
Beliau berkata, jenazah mangsa
dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat
malam tadi sebelum di hantar ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 27,
Kulaijaya, Johor untuk dikebumikan.
RUJUKAN-BERITA HARIAN ONLINE 27.5.14
No comments:
Post a Comment