Julai 4, 2021 @ 5:39pm
Pemain tengah England Jordan Henderson meraikan gol keempat pasukannya ketika aksi suku akhir Euro 2020 menentang Ukraine di Stadium Olimpik, Rome. - Foto AFP
ROME: Jordan Henderson gembira dapat menjaringkan gol pertamanya untuk England pada penampilan ke-62 ketika bertemu Ukraine di suku akhir Euro 2020 di Rome.
Skuad kendalian Gareth Southgate menundukkan Ukraine yang dikendali Andriy Shevchenko 4-0 untuk menempah pertemuan dengan Denmark di separuh akhir Rabu ini, dengan pemain tengah itu menanduk masuk gol keempat pasukannya.
Henderson mengakui dia gembira dapat menamatkan badi jaringan itu, dan memuji sikap luar biasa pemain-pemain England.
"Malam yang amat baik. Sangat gembira dengan tahap persembahan dan permulaan yang baik dengan gol awal dan kami meneruskan rentak dari situ.
"Kami bertahan dengan baik sebagai satu pasukan, menjaringkan gol-gol hebat, mencipta peluang-peluang terbaik.
"Kami perlu berpuas hati dengan persembahan keseluruhan. Kami mempunyai perlawanan besar Rabu ini, kami perlu berehat dan mencurahkan segalanya Rabu ini," kata Henderson.
Kapten Liverpool itu turut menekankan kepentingan pemain-pemain simpanan seperti Dominic Calvert-Lewin, Marcus Rashford dan Jude Bellingham yang akhirnya dapat beraksi.
"Ia penting dalam bola sepak antarabangsa. Beberapa pemain terpaksa menunggu lama untuk diturunkan, ramai pemain bagus dalam skuad ini.
"Ia skuad terbaik pernah saya lihat dan kami mula menuai hasilnya. Ia perlawanan paling penting dalam hidup kami Rabu ini dan kami perlu berusaha sebaik mungkin untuk ke final," katanya. - AGENSI.1
_________________________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/835459/euro-henderson-lega-ledak-gol-sulung
No comments:
Post a Comment