Ad

Sunday 11 July 2021

Seniman bantu tunaikan 'wasiat' Benjy

Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@hmetro.com.my



bantu tunaikan ‘wasiat’ Benjy

Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan membantu dalam pengurusan pengebumian jenazah pelakon Benjy yang meninggal dunia di Medan, Indonesia, jam 11 pagi tadi.

Setiausaha Agungnya, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata Benjy atau Khaeryll Benjamin Ibrahim, 43, yang meninggal di Hospital Royal Prima Medan, Indonesia akibat sesak nafas kerana penyakit asma akan dikebumikan esok.

"Seniman sedang berhubung rapat dengan pihak Konsulat General Malaysia di Medan Indonesia dan pihak Penjara Tanjung Gusta, Medan untuk pengurusan jenazah arwah Benjy.

"Maklumat yang kami terima setakat ini, jenazah sudah pun menjalani pelbagai prosedur di hospital dan disahkan tiada jangkitan Covid-19. Jenazah sudah dibawa ke Rumah Sakit Bhyangkara Brimob.

"Segala urusan jenazah akan dilakukan di situ sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Tanjung Gusta, Medan, Indonesia sebelum Zohor waktu tempatan, insya-Allah," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Menurutnya, Seniman juga berhubung rapat dengan pihak keluarga Allahyarham dan mereka bersetuju jenazah Benjy dikebumikan di Medan Indonesia disebabkan arwah ada mewasiatkan supaya jenazahnya disemadikan di sana jika terjadi apa-apa.

"Pengurusan jenazah arwah Benjy akan diuruskan oleh pihak Konsulat General Malaysia dan pihak Penjara Tanjung Gusta dengan segala kos akan ditanggung oleh pihak waris.

"Seniman akan cuba bantu mana-mana bahagian selagi kami mampu untuk memudahkan urusan pengebumian arwah Benjy di Medan," katanya.

Terdahulu, Benjy ditahan pihak Kastam dan Eksais sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Medan, Indonesia pada 18 April 2017.

Pada tahun yang sama, Benjy didapati bersalah kerana memiliki 4.5 gram dadah jenis syabu dan dikenakan hukuman penjara 11 tahun 8 bulan oleh mahkamah.

Disiarkan pada: Julai 11, 2021 @ 10:27pm.1

_____________________________________

1https://www.hmetro.com.my/rap/2021/07/729453/seniman-bantu-tunaikan-wasiat-benjy

No comments:

Post a Comment