Ad

Tuesday, 12 September 2017

Perginya Sultan kesayangan rakyat

 
Oleh MOHD. SHAZWAN YUSOP & FARID AHMAD TARMIJI

Almarhum mencipta sejarah apabila ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

TANGGAL 28 November 1927 menjadi sejarah buat rakyat Kedah apabila Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah diputerakan di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Keputeraan Almarhum menjadi kesinambungan naungan diraja di Kedah yang terkenal dengan jolokan negeri Jelapang Padi itu.

Putera kedua Almarhum Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid bersama Tunku Sofiah Tunku Mahmud itu menjadi pewaris takhta yang disayangi oleh rakyat jelata.

Almarhum dibesarkan di Istana Anak Bukit dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid dari tahun 1946 hingga 1949.

Semasa menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid, Almarhum Sultan Abdul Halim mesra bergaul dengan pelajar-pelajar daripada pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat.

Pada zaman persekolahan, guru dan rakan-rakan menyifatkan Almarhum sebagai seorang yang berhemah tinggi, bertolak ansur dan tidak pernah berbangga diri, biarpun bakal menjadi Sultan Kedah.

Almarhum juga seorang putera raja yang aktif dalam pasukan seragam serta kerap mengikuti aktiviti perkhemahan bersama-sama rakannya.

Pada Februari 1949, Almarhum telah berangkat ke Britain bagi melanjutkan pelajaran di Wadham College, Oxford dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

Pada tahun yang sama, ketika usia 21 tahun, Almarhum telah dilantik menjadi Raja Muda Kedah.

Setelah tamat pengajian, Almarhum kembali ke Kedah pada tahun 1955 dan kemudiannya berkhidmat di Pejabat Daerah Kota Setar dan Pejabat Perbendaharaan Negeri.

Perkahwinan
Almarhum dan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah bersama Tunku Puteri Intan Safinaz (tengah) Tunku Soraya (kiri) serta Tunku Sarina.

Almarhum kemudiannya bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah yang merupakan puteri sulung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad iaitu Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Perkahwinan pasangan diraja itu dilangsungkan pada bulan Mac 1956 di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Hasil perkahwinan diraja itu, Almarhum dikurniakan tiga puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Puteri Intan Safinaz.

Pada 9 Mac 1957, Almarhum dilantik sebagai pemangku Sultan Kedah kerana Almarhum Sultan Badlishah telah berangkat ke luar negara pada 12 Mac hingga Julai 1957.

Pada 14 Julai 1958, Almarhum Sultan Abdul Halim menaiki takhta sebagai Sultan Kedah selepas kemangkatan Almarhum Sultan Badlishah.

Almarhum Sultan Abdul Halim ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959 dalam satu istiadat gilang-gemilang di Balai Besar, Alor Setar.

Pada 21 September 1970, Almarhum Sultan Abdul Halim dipilih oleh Majlis Raja-Raja sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-5.

Almarhum bertugas sebagai Yang di-Pertuan Agong sehingga 21 September 1975.

Cipta sejarah
 
ALMARHUM tidak kekok ketika bersama rakyat.

Pada 26 Ogos 2003, Tuanku Sultanah Bahiyah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit.

Pada 9 Januari 2004 berlangsung satu istiadat gilang-gemilang pelantikan Yang Mulia Che Puan Haminah Hamidun sebagai Sultanah Kedah yang baharu dengan gelaran Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah.

Tuanku Sultanah Haminah dilahirkan di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Almarhum pada 25 Disember 1975.

Pada masa sama, Almarhum telah mencatat sejarah bagi negara apabila menjadi satu-satunya sultan yang ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Almarhum sekali lagi dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 14 Oktober 2011.

Ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong, Almarhum juga sangat tegas dengan prinsipnya terutama dalam hal urusan politik dan pentadbiran negara.

Almarhum terkenal sebagai seorang yang lemah lembut dan bersopan santun kerana dari kecil dididik dengan nilai-nilai pekerti dan tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan.

Almarhum begitu mengambil berat tentang hal ehwal agama dan rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda.

Sifat ramah dan tenang menjadikan Almarhum amat disenangi rakyat jelata dan kakitangan istana, baik semasa menjadi Sultan Kedah dan Yang di-Pertuan Agong.

Almarhum amat menghargai setiap kakitangan yang berkhidmat dengan baginda.

Almarhum dikatakan memanggil nama pekerja istana dengan nama penuh. Tidak pernah Almarhum memanggil pekerja istana dengan nama pendek. Ini kerana Almarhum ingat nama pekerjanya.

Almarhum juga mempunyai hobi bermain golf untuk mengisi masa lapang. Selain golf, semasa muda Almarhum juga gemar bermain tenis dan biliard.

Selain itu, Almarhum juga turut mempunyai hobi lain iaitu fotografi dan melancong.

Almarhum juga telah berangkat ke Eropah pada tahun 1950 dan 1954 selain mengelilingi dunia pada tahun 1963.

Pencinta haiwan

Seperti sedia maklum, Almarhum Sultan Abdul Halim juga merupakan seorang pencinta haiwan.

Kecintaannya terhadap haiwan dizahirkan dengan pembinaan sebuah zoo mini di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Meskipun sibuk dengan tanggungjawab sebagai seorang Sultan, Almarhum tetap meluangkan masa melawat haiwan peliharaannya di zoo mini tersebut.

Pelbagai jenis haiwan ditempatkan di zoo tersebut antaranya burung, kuda, rusa dan arnab.

Selain itu, Almarhum juga gemar membaca buku-buku ilmiah.

Almarhum juga merupakan peminat nombor satu pasukan bola sepak negeri Kedah.

Almarhum tidak pernah ketinggalan untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang melibatkan pasukan Kedah terutamanya di Stadium Darul Aman di Alor Setar.

Selain itu, Almarhum sering menjemput pemain pasukan bola sepak Kedah ke istana untuk Majlis Santapan Malam bagi meraikan kejayaan yang diraih mereka.

sumberArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0912&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4sTOGzNJ4
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment