ARKIB : 17/11/2006
Kisah Al-Quran-Siri 16
Ujian Allah kepada Nabi Daud
SESUNGGUHNYA saudaraku ini
mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor
sahaja. Maka dia berkata: Serahkanlah kambingmu itu kepadaku dan dia telah
mengalahkan aku dalam merundingkan perkara itu. (Shaad: 23)
SEMASA pemerintahan Nabi Daud,
terdapat seorang pemuda yang bernama Uria bin Hannan yang sangat tampan, kuat
dan baik tingkah lakunya.
Pada suatu ketika, dengan
takdir Allah, bertemulah Uria dengan seorang gadis daripada kaumnya juga yang
bernama Sabiq binti Syair. Gadis tersebut sangat cantik serta bersopan santun.
Maka apabila sampai masa yang ditetapkan lalu berkahwinlah kedua-dua mereka.
Dalam keadaan suami isteri itu
baru melalui kehidupan berumahtangga yang sedang dibina, tiba-tiba Nabi Daud
memerintahkan si suami untuk pergi berjuang membela tanah air dan agama demi
berjihad ke jalan Allah. Berat hati si suami melangkah kakinya ke medan perang
yang mungkin menjadi medan maut baginya. Tetapi kewajipan terhadap tanah air
dan agama mestilah ditunaikan. Maka pergilah si suami tersebut berperang dengan
meninggalkan isterinya yang tercinta.
Takdir Tuhan telah menentukan.
Pada suatu hari Nabi Daud terpandang akan wajah cantik iaitu isteri pemuda
tadi. Hati baginda terus terpaut dan ingin menjadikannya sebagai isteri.
Disebabkan Nabi Daud adalah raja yang memerintah pada masa itu, lamaran Nabi
Daud diterima oleh gadis itu.
Perkahwinan tersebut berjalan
dengan lancar dan meriah sekali sehingga tersebar ke medan peperangan. Uria
yang mengetahui isterinya dikahwini oleh Nabi Daud merasa sangat kecewa.
Sebagai raja dan nabi, baginda
selalu dijaga oleh penjaga-penjaga dan tentera-tenteranya. Tidak seorangpun
dibenarkan masuk sebelum mendapat keizinan daripada Nabi Daud sendiri.
Pada suatu hari, datanglah dua
orang lelaki ingin menemui baginda. Setelah meminta keizinan, kedua-dua lelaki
itu tidak dibenarkan masuk menemui Nabi Daud walaupun sudah beberapa kali
dipujuk.
Tiba-tiba dalam keadaan pintu
tertutup, kedua-dua lelaki itu sampai di hadapan Nabi Daud. Ternyata kedua-dua
lelaki itu bukanlah manusia biasa. Mereka ialah malaikat yang diutuskan oleh
Allah untuk mendatangi Nabi Daud dan memberi peringatan serta pengajaran kepada
baginda. Kedua-dua malaikat itu duduk berdekatan dengan Nabi Daud dan salah
seorang daripadanya berkata:
Jangan takut wahai Daud, kami
ini dua bersaudara. Kedatangan kami ingin meminta petunjuk dan jalan kerana
kami mempunyai sedikit perselisihan. Saudara saya ini mempunyai 99 ekor kambing
dan saya hanya mempunyai seekor kambing sahaja. Tetapi saudara saya ini
menuntut kepada saya mengambil kambing saya itu, agar kambingnya menjadi
seratus, maka saya tidak akan mempunyai kambing lagi.
Sementara itu, pemuda yang
seorang lagi mengiyakan percakapan pemuda pertama tadi. Selepas mendengar
keterangan itu, merah padamlah muka Nabi Daud kerana marah. Tuntutanmu tidak
baik! Kalau engkau tetap menuntut begitu, akan aku pukul dahi dan hidungmu itu.
Baru sahaja Nabi Daud berkata
demikian, malaikat itu terus berkata: Engkau seharusnya yang lebih baik
dipukul sebab engkau sudah mempunyai sembilan puluh sembilan orang isteri,
kemudian mengambil pula isteri Uria bin Hannan yang hanya mempunyai seorang isteri
sahaja.
Mendengar kata-kata melaikat
itu, Nabi Daud tunduk dan sujud meminta keampunan sambil bertaubat kepada
Allah, di atas kekeliruannya. Allah segera memberi keampunan dan menerima
taubat Nabi Daud itu.
*Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx.com.
PENGAJARAN
*Setiap arahan yang diberikan
oleh ketua, mestilah dilaksanakan dengan baik.
*Sekiranya berlaku perselisihan
ataupun salah faham, hendaklah kita merujuk kepada orang yang lebih adil.
INFORMASI
Daud bin Isha adalah anak
bongsu daripada 13 adik-beradik yang berketurunan ke-13 daripada Nabi Ibrahim.
beliau tinggal di kota Baitlehem (Baitul Laham) iaitu kota kelahiran Nabi Isa
bersama 13 orang saudaranya.
PERBENDAHARAAN KATA
*berjihad: berperang dengan
jalan yang suci melawan orang-orang kafir kerana mempertahankan agama Islam.
*terpaut: terpikat kepada
seseorang
*perselisihan: perbezaan
pendapat
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4sEDt0bIy
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment