ARKIB : 01/12/2006
DOHA Norizan Bakar bingkas
mempertahankan pemain-pemainnya selepas skuad negara kalah 3-1 kepada Oman pada
perlawanan sulung mereka dalam acara bola sepak Sukan Asia di sini dan berkata
keputusan itu tidak adil buat mereka.
Malah, jurulatih kebangsaan itu
memuji persembahan beberapa pemain muda terutama Safiq Rahim dan Khyril
Muhaymeen Zambri.
Keputusan itu tidak
menggambarkan keadaan sebenar mutu permainan pasukan, katanya.
Mereka telah bermain dengan
baik, terutamanya pemain-pemain muda seperti Safiq Rahim dan Khyril. Malah
beberapa pemain muda telah menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding
sebahagian rakan mereka yang lebih senior, tegasnya.
Safiq dan Khyril berada dalam
skuad pada saat-saat akhir iaitu selepas mereka pulang dari misi ke Banglore,
India bersama skuad Bawah-20 yang dipimpin oleh K. Rajagopal.
Dalam perlawanan kelmarin,
seperti dijangka skuad Norizan bermain secara berhati-hati iaitu memperketatkan
bahagian belakang dan hanya mencari peluang untuk menjaringkan gol menerusi
serangan balas.
Ia kelihatan berjaya pada
awalnya tetapi dua pertahanan dari skuad senior kebangsaan, ketua pasukan
Norhafiz Zamani Misbah dan Muhamad Kaironnisam Sahabuddin terpaksa bekerja
keras dengan dibantu oleh Ronny Harun di bahagian kiri dan Azlan Ismail di
kanan benteng.
Penjaga gol dari Selangor, Syed
Adney Syed Hussain juga bertindak cemerlang walaupun kelihatan gugup pada
awalnya. Dia disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas penjaga gawang
pilihan pertama Mohd. Iqbal Suhimi cedera lutut.
Bagaimanapun, kesilapan sayap
kiri Nor Farhan Muhammad yang tersepak masuk ke gawang sendiri pada minit ke-40
menjejaskan semangat skuad negara.
Jaringan itu, menurut Norizan
menunjukkan kelemahan pemain-pemain negara iaitu mereka hilang tumpuan apabila
permainan menuju hujung setiap babak.
Perkara yang hampir sama
berulang pada separuh masa kedua apabila skuad negara dibolosi oleh gol ketiga
Oman pada minit ke-88 menerusi percubaan jarak dekat Badar Maimani. Gol kedua
Oman dihasilkan pada minit ke-57 oleh Ibrahim Ghailani.
Perlawanan itu, dari satu segi,
kata Norizan menunjukkan pemain-pemain negara tidak mudah patah semangat
apabila bangkit menyerang selepas rehat dan berjaya menghasilkan gol tunggal
menerusi gerakan menarik yang disempurnakan dari jarak dekat oleh pemain tengah
Hardi Jaafar pada minit ke-61.
Perlawanan kedua Malaysia ialah
menentang China pada Ahad ini. China mengalahkan pasukan dari pusingan pertama
Iraq 1-0.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4sEiYMRym
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment