Ad

Saturday, 9 September 2017

Kelahiran Nabi Musa - Siri 14



ARKIB : 03/11/2006

Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah dengan menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka.

Sesungguhnya Firaun termasuk dalam orang-orang yang melakukan kerosakan (Al-Qashash: 4)

NEGERI Mesir diperintah oleh seorang raja yang bengis dan zalim di mana orang-orang Mesir menyembahnya. Raja itu dikenali sebagai Firaun. Di tengah-tengah pemerintahannya itulah, Firaun bermimpi melihat api yang sangat besar yang datang dari Baitul Maqdis. Api besar itu melanda ke negeri Mesir dan membakar rumah-rumah rakyat Mesir. Firaun berasa takut dengan mimpi itu dan bertanya kepada tukang-tukang tiliknya akan maksud mimpinya itu.

“Hai tukang tilik-tukang tilikku, apa maksud akan mimpiku itu?” tanya Firaun.

“Maksud mimpi tuanku itu ialah bahawa akan lahir seorang anak lelaki di kalangan Bani Israel yang tinggal di Mesir ini. Anak lelaki itu akan mengalahkan tuanku dan tidak akan mengaku tuanku sebagai tuhan dan rajanya. Anak lelaki itu juga akan menghancurkan negeri Mesir dengan kekuasaannya,” terang tukang tilik tersebut.

Dengan itu, Firaun memerintahkan agar kaum Bani Israel tidak melahirkan anak lelaki. Sesiapa yang melahirkan anak lelaki, maka anak itu akan dibunuh.

Kebetulan, tahun kelahiran Nabi Musa sama dengan tahun ketika Firaun memerintahkan semua anak lelaki dibunuh. Alangkah sedihnya hati ibu Nabi Musa yang sedang mengandung dan hampir melahirkan kandungannya pada waktu itu, ibunya menjadi bimbang dan takut. Beliau berusaha menyembunyikan kandungannya dan bersikap biasa, seolah-olah tidak mengandung kerana dia sayang akan kandungannya itu.

Maka lahirlah Nabi Musa dengan bantuan seorang bidang yang baik hatinya dan dia berjanji untuk menutup berita kelahiran Nabi Musa daripada pengetahuan Firaun dan tentera-tenteranya. Bagaimanapun, berita kelahiran Nabi Musa telah diketahui juga oleh Firaun dan tentera-tenteranya.

Rumah mereka digeledah oleh tentera-tentera Firaun. Mujurlah Maryam, saudara Nabi Musa memberitahu ibunya tentang rahsia bocor itu. Dengan segera ibunya mengambil Nabi Musa dan menyembunyikannya di dapur. Tentera-tentera Firaun tidak berjaya menemuinya. Maka selamatlah Musa daripada tentera Firaun ketika itu.

Ibunya semakin risau dan takut. Dalam ketakutan itu Allah s.w.t. telah memberi ilham kepada ibunya agar menyusukan Nabi Musa terlebih dahulu sehingga kenyang, lalu kemudiannya menghanyutkan Nabi Musa di Sungai Nil.

Hatinya menjadi sedikit tenang menerima ilham itu. Ibu Nabi Musa bersama saudaranya Maryam lalu memasukkan Nabi Musa ke dalam sebuah peti dan menghanyutkannya ke Sungai Nil.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx.com.

PENGAJARAN

* Sesiapa yang banyak bersabar pasti akan menemui kebaikan untuk dirinya.

* Sesungguhnya Allah akan melindungi orang yang tabah menghadapi ujian

daripada-Nya.

PERBENDAHARAAN KATA

* tilik: tenung

* menyembunyikan: melindungkan

* geledah: selongkar’

* ilham: petunjuk daripada Tuhan

INFORMASI

Sungai Nil merupakan sungai yang terpanjang di dunia iaitu 6,990 kilometer. Nama Nil diambil daripada bahasa Mesir Kuno ‘nyu’ yang bermaksud air.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4sB0AfKwP
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment