Ad

Saturday 9 September 2017

Malaysia raih emas kedua - Pasukan boling lelaki turut akhiri kemarau 28 tahun



ARKIB : 07/12/2006

BEN Heng (kiri), Aaron Kong (tengah) dan Daniel Lim mempamer kombinasi mantap untuk menyumbangkan pingat emas kedua Malaysia pada Sukan Asia 2006 dalam acara boling trio lelaki di Doha, semalam.

DOHA – Kontinjen Malaysia bukan sahaja mengakhiri kemarau tiga hari pingat emas di Sukan Asia di sini malah turut menamatkan kemarau 28 tahun skuad boling lelaki selepas mengungguli acara trio, semalam.

Kejayaan itu menambah koleksi pingat emas negara kepada dua selepas kejayaan Esther Cheah menang emas pertama negara menerusi acara individu wanita, 3 Disember lalu.

Kali terakhir pasukan lelaki negara memenangi emas ialah pada Sukan Asia 1978 di Bangkok menerusi Alan Hooi, Khoo Jim Bin, Edward Lim, Holloway Cheah dan P.S. Nathan.

Boling setakat ini kekal sebagai penyumbang emas utama negara selepas pasukan lelaki mencatat jumlah jatuhan tertinggi untuk menduduki tangga teratas acara trio.

Malaysia yang diwakili Daniel Lim, Aaron Kong dan Ben Heng menghabiskan enam game dengan jumlah 4,089 jatuhan pin.

Manakala skuad pertama yang membariskan Azidi Ameran, Zulmazran dan Alex Liew menduduki tempat keempat dengan 3,852 jatuhan pin. Singapura yang mencatat 3,985 jatuhan pin meraih pingat perak diikuti Arab Saudi ketiga dengan 3,871 jatuhan pin.

Selain kejayaan meraih emas kedua itu, Malaysia turut meraih tiga lagi pingat perak semalam.

Boling menerusi trio wanita sekali lagi menjadi penyumbang apabila gandingan Esther Cheah, Zandra Aziela Ibrahim Hakim dan Shalin Zulkifli menyempurnakan enam game untuk mencatat 3,973 jatuhan pin di belakang Korea Selatan yang mencatat 3,983 jatuhan pin untuk memenangi pingat emas dengan perbezaan 10 mata.

Satu lagi trio negara yang menggandingkan Wendy Chai, Choy Poh Lai dan Sharon Koh sekadar menduduk itempat ke-12 selepas mencatat 3,462 jatuhan pin.

Pingat perak turut menceriakan kem gimnastik Malaysia, semalam apabila Ng Shu Wai menamatkan acara melombol di tempat kedua dengan catatan keseluruhan 16. 467 mata. Pingat emas pula milik gimnas Korea Utara, Ri Se Gwang yang mencatat 16.625 mata manakala gangsa dimenangi Yernar Yerimbetov yang mengumpul 16.300 mata.

Pasukan sepak takraw mengesahkan perak ketiga negara selepas tewas 0-2 kepada Thailand pada perlawanan akhir. Regu pertama Malaysia tewas 21-15, 21-15 diikuti kekalahan regu kedua 22-10,21-12.

Di Stadium Hoki Al-Rayyan di sini, semalam, Malaysia sekali lagi gagal mencari kemenangan pertama selepas terikat 2-2 dengan Jepun sekaligus menempah laluan agak sukar untuk ke saingan separuh akhir.

Dalam pada itu, kontinjen basikal negara masih gagal untuk menyumbang pingat pada hari ketiga acara lebuhraya apabila rangkaian pelumba Mohd. Jasmin Ruslan, Shahrul Neeza Mohd. Razalli, Mohd. Akmal Amrun dan Amir Mustafa Rusli sekadar menduduki tempat ke-13 dengan catatan masa 1:37:29.08 saat.

Catatan yang dibuat oleh skuad basikal negara tercicir jauh jika dibandingkan dengan pelumba-pelumba Kazakhstan yang meraih pingat emas apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan 1:24:40.67s, perak milik Iran dengan catatan 1:25:56.60s manakala Jepun membawa pulang gangsa dengan 1:26:01.49s.

Ekuestrian gagalmempertahankan pencapaian terbaik semalam, apabil ekuin, Husref Malek Jeremiah menduduki tempat keenam dengan markah terkumpul 64.44 peratus manakala Johari Lee yang mencatat 58.89 di tempat ke-19 dalam acara Eventing Dressage di Equestrian Dressage Arena di sini.

Di Lapang Sasar Lusail, skuad menembak negara masih gagal memecah kebuntuan untuk membidik pingat apabila tercicir daripada saingan kelompok utama yang dikuasai penembak Kazakhstan dan China.

Acara 25 meter pistol, Hazli Izwan Amir Hasanmenduduki tempat ke-15 manakala penembak wanita turut mengulangi pencapaian buruk di Busan 2002 apabila Nur Suryani Mohd. Taibi menduduki tempat ke-10 dengan catatan 575 mata.

Acara snuker berpasukan lelaki juga menyaksikan Malaysia berpeluang memenangi gangsa apabila bertemu India pada pukul 7 malam waktu tempatan (12 malam waktu Malaysia).

Acara berpasukan yang diwakili Moh Keen Hoo, Thor Chuan Leong dan Lai Chee Wei tewas kepada gandingan Fung Kwok Wai, Fu Ka Chun dan Chan Wai Ki di Dewan Serbaguna Al-Sadd, di sini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sEw2jttX
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment