ARKIB : 10/11/2006
Kisah Al-Quran - Kisah 15
Pelantikan Harun sebagai nabi
DAN jadikanlah bagiku, seorang
penyokong daripada keluargaku, iaitu Harun, saudaraku. Kuatkanlah dengan
sokongannya akan pendirianku, dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab
dalam urusanku, supaya kami sentiasa beribadat dan memujimu dan (supaya) kami
sentiasa menyebut dan mengingatinya. (Thaaha: 29-34)
NABI Harun adalah saudara Nabi
Musa yang diutuskan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi penolong dan pendamping
kepada Nabi Musa. Pelantikan Harun menjadi nabi adalah atas permohonan Nabi
Musa kepada Allah s.w.t.
Allah telah memperkenankan
permohonan Nabi Musa itu dan diberikan Nabi Harun kepadanya sebagai suatu
rahmat. Kemudian diberikan pula kenabian kepada Nabi Harun.
Sebelum Harun dilantik menjadi
Nabi, Allah telah memerintahkan Nabi Musa untuk menyampaikan risalah Illahi
kepada Firaun kerana dia sangat sombong dan kejam. Untuk memudahkan urusannya,
Nabi Musa memohon kepada Allah memperkenankan Nabi Harun, saudaranya sebagai
penolong untuk menyampaikan risalah Allah yang berat itu. Lalu, Allah
mengabulkan doa Nabi Musa dan memperkenankan segala permohonannya.
Allah mempersiapkan Nabi Musa
untuk menyampaikan risalah-Nya. Kemudian Allah mengutus dan memerintahkan Nabi
Harun bersama Nabi Musa dengan diperkuatkan oleh Allah akan ayat-ayat dan
mukjizat-mukjizat untuk menghadapi Firaun.
Allah juga berpesan kepada
baginda berdua supaya sentiasa menyebut nama-Nya dalam menyampaikan risalah dan
memerintahkan supaya mereka berdua bersikap berani ketika berhadapan dengan
Firaun. Allah s.w.t. juga mewasiatkan kepada mereka supaya bersikap lemah
lembut ketika berbicara dengan Firaun. Mudah-mudahan sikap yang demikian itu
dapat menghilangkan sifat Firaun yang sombong dan besar diri sehingga dia
berasa takut kepada Allah.
Nabi Musa dan Nabi Harun
berkata, Sesungguhnya kami sangat takut kepada kekejaman dan kekerasan Firaun.
Sekiranya kami menyampaikan risalah tersebut, sudah tentu kami akan diseksa dan
dibunuh.
Lalu Allah pun berfirman kepada
mereka supaya jangan merasa takut kerana Allah sentiasa bersama mereka. Allah
Maha Mendengar dan Maha Melihat. Dia akan memelihara mereka daripada sebarang
penganiayaan.
Seterusnya Allah menyuruh
mereka memberitahu Firaun bahawa mereka adalah utusan Allah dan Firaun adalah
hamba-Nya, bukanlah Tuhan seperti yang didakwanya. Nabi Musa dan Nabi Harun
menerima perintah Allah itu dan berangkatlah mereka untuk menemui Firaun.
* Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx.com
PENGAJARAN
*Kita sebagai umat Islam patut
bersyukur kerana dilahirkan dalam Islam, cuma tinggal diri kita sendiri untuk
menghayati Islam itu dan menjadi orang yang beriman dan bertakwa.
*Kita hendaklah berani berkata
benar atau menegur mereka yang zalim.
PERBENDAHARAAN KATA
*pendamping: peneman
*rahmat: hikmah
*risalah: utusan
*penganiayaan: kezaliman,
perbuatan menindas atau penyeksaan
INFORMASI
Nabi Harun diutuskan oleh Allah
s.w.t. kepada kaum Bani Israel supaya menyembah Allah, membayar zakat, berpuasa
dan berlaku jujur.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4sCaY82pj
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment