Ad

Saturday, 9 September 2017

Persoal kontrak sosial



ARKIB : 26/11/2006

Bersama: MOHD. YUSOF ABAS
SOALAN: Sejak akhir-akhir ini selalu kita dengar segolongan pihak mempersoalkan kontrak sosial yang telah disepakati pemimpin-pemimpin kita dahulu kerana masing-masing ingin memperjuangkan kaumnya sendiri. Apakah perlu perjanjian itu diubah kembali?

– Norasayikin Salleh, Alor Lintah, Besut, Terengganu.

Jawapannya: Bagi mereka yang ingin menjadi jaguh untuk kaum masing-masing sepatutnya dapat membuktikan kejaguhan mereka melalui khidmat cermerlang atau sumbangan bakti masing-masing terhadap kaum dan negara tercinta ini. Jangan sekali-kali mempersoalkan atau menyentuh kesepakatan yang telah dipersetujui semua pihak daripada kalangan orang tua-tua kita yang ternyata berkesan dan dapat menjamin keamanan dan keharmonian masyarakat selama ini.

Tidakkah mereka sedar bahawa dengan kesepakatan itulah dapat mereka mempertahankan keselamatan dan menjamin bahagian masing-masing dalam masyarakat sehingga sekarang umpamanya mereka tidaklah pernah berfikir boleh bercakap dengan lantang dalam Parlimen dan di mana-mana pun. Ini kerana persepakatan tadi yang membenarkan setiap rakyat dalam negara ini dapat bersuara dan menyatakan pendapat. Kalau tanpa kesepakatan itu mereka tidak ada sebarang hak untuk bercakap atau bersuara apa lagi untuk mendapat sebarang keistimewaan dalam negara ini. Sekarang bukan masa untuk sesiapa bercakap mengenai asas persepakatan atau kontrak sosial tetapi masa untuk membuktikan kejaguhan masing-masing dengan khidmat dan bukti kalau kita benar-benar ingin berjasa kepada kaum sendiri di negara berdaulat ini.

Itulah dasar keramat atau pendekatan hikmat yang telah dicetuskan oleh pemimpin kita dahulu yang sepatutnya kita bersyukur dan sama-sama menerimanya dengan hati yang ikhlas dan terbuka. Oleh itu marilah kita berpimpin tangan menuju kejayaan dan kemajuan bersama dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Kikislah perasaan cemburu atau hasad dengki dari hati kita semua. Negara kita hari ini sangat memerlukan manusia yang bersih hati dan fikirannya daripada kalangan mereka yang mempunyai minda kelas satu.

Kalau suara atau bisikan tadi masih kedengaran di Parlimen atau perhimpunan atau di mana saja, maka itulah tandanya negara kita masih jauh lagi dari sebarang kejayaan cemerlang.yang menjadi idaman kita semua.

Tuhan kami! selamatkan kami di negara kami dan peliharalah hidup dan mati kami dan anak cucu kami dalam keselamatan dan kesejahteraan yang berkekalan. Wahai tuhan! yang bernama (salam) kesejahteraan, hanya dari-Mu segala kesejahteraan dan kepada-Mu kesejahteraan dan masukilah kami dalam syurga-Mu negeri yang penuh kesejahteraan. – Amin. Wallahuaklam

Penyakit misteri
SOALAN: Saya mengalami penyakit ganjil dan apabila berjumpa doktor, ia mengatakan tidak ada sebarang penyakit sedangkan saya hakikatnya sakit dan semua orang tahu saya sakit. Adakah penyakit saya ini keturunan atau disihir orang?

– Marhamah Sabiro, Kuala Selangor.

Jawapannya: Setiap penyakit selalunya yang tidak dapat dikesan puncanya oleh doktor itu pada sesetengah orang beranggapan tentulah dikatakan penyakit itu adalah penyakit misteri atau sihir atau buatan orang dan sebagainya. Tetapi bagi kita, orang Islam tentu yakin dan percaya bahawa segala sesuatu itu tidak akan berlaku melainkan dengan kehendak-Nya dan tentunya dijadikan oleh Allah s.w.t. ada ubatnya. Dalam hal ini jangan kita berputus asa sama sekali kerana tidak ada mereka yang berputus asa dari rahmat Allah itu, selain mereka yang sesat. (maksud al-quran surah alhijr ayat 56).

Oleh itu saudara janganlah berputus asa kerana setiap penyakit itu ada ubatnya sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud: Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya. Jika suatu ubat itu tepat untuk suatu penyakit, penyakit itu akan sembuh dengan seizin Allah. (hadis Muslim).

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya. (Riwayat Bukhari). Saya mencadangkan supaya saudara berikhtiar dengan mencuba segala ubat yang dicadangkan kerana keserasian atau kemujaraban itu kita tidak tahu kerana kehendak Allah yang dapat menentukannya. Kadang- kadang ubat yang murah harganya dapat menyembuhkan penyakit yang teruk atau doktor yang bukan pakar itu dapat mengubati penyakit yang tidak dapat diubati oleh doktor pakar sendiri.

Ini sebenarnya bukti kebesaran Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya dalam segala urusan atau kejadian-Nya. Saudara boleh mendapatkan ubat yang dikatakan baik itu melalui sesiapa sahaja menurut pengalamannya. Yakinlah bahawa setiap kejadian atau penyakit itu ada hikmahnya bagi orang beriman. Tentunya kamu akan beroleh keuntungan dalam semua keadaannya kerana dapat memahaminya dan bersikap reda dengan ketentuan-Nya.

Dalam hubungan ini nabi bersabda yang bermaksud: segala urusan orang mukmin itu semuanya merupakan keberuntungan baginya, sekiranya dia dikurniakan nikmat atau kesenangan dan kesihatan tentu dia bersyukur dan memuji Tuhannya, dia akan beroleh pahala dan sekiranya dia ditimpa musibah atau kesusahan dan kesakitan dia reda dan bersabar, dia juga akan beroleh pahala ganjarannya. (Maksud hadis).

Dalam hal ini juga Allah berfirman yang bermaksud: sesungguhnya diserta kesusahan itu kesenangan dan diserta kesenangan itu kesusahan. (al-Insyirah – 5-6). Sebab itu boleh dikatakan dalam kesakitan itu ada kesihatan dan dalam kerisauan ada kegembiraan. Tetapi ini semua memerlukan kefahaman mendalam dalam agama kerana tanpa kefahaman tersebut kita tidak dapat memahami maksud firman-Nya. Wallahuaklam.

- SEBARANG kemusykilan bolehlah dialamatkan kepada

Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim,

Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan .com.my.

Pembaca hendaklah menyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4sEZ0TLBq
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment