Ad

Sunday, 24 September 2017

Kelahiran Nabi Isa



ARKIB : 11/05/2007
Kisah Al-Quran - Siri 40
DAN (ingatlah wahai Maryam) yang telah menjaga kehormatannya lalu Kami tiupkan ke dalam (tubuhnya) roh dari Kami dan Kami jadikan dia dan anaknya tanda (kekuasaan) yang besar bagi alam semesta. (al-Anbiyaa’: 91)

MARYAM seorang perempuan yang suci. Beliau menghabiskan masanya dengan beribadat kepada Allah. Pada suatu hari, beliau didatangi malaikat Jibrail. Malaikat tersebut memberitahu Maryam bahawa beliau bakal mengandungkan seorang anak yang kemudiannya akan menjadi rasul.

Apabila tiba masa untuk melahirkan anak, Maryam pun keluar dari rumahnya dengan senyap-senyap. Beliau telah pergi ke tempat yang terpencil dan tiada orang. Akhirnya, Maryam terpaksa berhenti di bawah sebatang pokok kurma. Beliau sudah tidak dapat menahan kesakitan lagi. Tidak lama kemudian, Maryam pun melahirkan bayinya dan bayi itu diberi nama Isa.

Maryam menatap wajah anaknya dengan linangan air mata. Beliau berkata: “Alangkah baiknya kalau aku ditakdirkan mati sebelum melahirkan anak tanpa sebarang suami.”

Maryam berasa amat lapar dan dahaga. Beliau tidak menemui apa-apa yang boleh dimakan atau diminum. Keadaan padang pasir itu kontang dan tandus. Tiba-tiba Maryam terdengar satu suara.

“Wahai Maryam, janganlah engkau bersedih. Minumlah air yang mengalir dari bawah tapak kakimu. Goyangkan pokok kurma di belakangmu dan makanlah buahnya.

“Kemudian pulanglah engkau ke kampung. Jika engkau menemui sesiapa, katakan kepada mereka engkau bernazar puasa dan tidak akan bercakap dengan sesiapapun.”

Maryam pun makan dan minum sehingga beliau benar-benar sihat. Tibalah masa untuk beliau pulang ke kampung halamannya. Maryam mundar-mandir di tempatnya berdiri. Beliau risaukan keselamatannya. Beliau tahu kaumnya nanti akan menghinanya kerana melahirkan anak tanpa suami.

Maryam kemudiannya berdoa kepada Allah agar ditabahkan hatinya apabila menghadapi hinaan daripada kaumnya. Beliau juga meminta agar dirinya dan anaknya dipelihara.

Setelah itu, Maryam mengendong bayinya pulang. Seperti yang diduga, ramai yang terkejut apabila melihat perempuan yang belum berkahwin itu mempunyai anak. Kaum keluarga Maryam bergegas datang. Semua yang ada mengerumuni Maryam dan anaknya, Isa.

“Wahai Maryam! Engkau telah mencemarkan nama baik keluargamu. Keluargamu adalah daripada golongan orang yang beriman. Kamu telah membuatkan kami malu dan terhina,” kata keluarga Maryam.

Maryam memberitahu dengan isyarat bahawa beliau sedang bernazar puasa dan tidak akan bercakap dengan sesiapa pun. Beliau menuding ke arah Isa yang sedang berada di dalam buaian.

Tiba-tiba Isa berkata: “Aku adalah hamba Allah. Dia memberiku kitab Injil dan menjadikan aku seorang nabi. Aku sentiasa diberkati. Aku diperintahkan mendirikan solat dan menunaikan zakat selagi aku masih hidup. Aku akan berbakti kepada ibuku dan tidaklah aku dijadikan sebagai orang yang sombong. Moga aku sejahtera pada hari aku dilahirkan, ketika meninggal dunia dan ketika dibangkitkan semula.”

Maka tersebarlah cerita mengenai Isa yang masih bayi tetapi sudah boleh bercakap. Isa telah membersihkan fitnah yang dilontarkan kepada ibunya. Maryam adalah perempuan yang suci. Beliau telah melahirkan seorang anak yang akan menjadi nabi dan rasul.

Kaum keluarga Maryam tidak lagi menuduh yang bukan-bukan terhadap Maryam. Mereka kembali menghormati Maryam dan anaknya yang bernama Isa.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada Al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

PENGAJARAN

*Menabur fitnah adalah perkara yang dibenci oleh Allah. Fitnah mampu memecah-belahkan umat. Oleh itu, janganlah kita sesekali membuat fitnah.

*Apabila kita menghadapi kesusahan, ingatlah ia sekadar ujian daripada Allah. Jika kita sabar menghadapinya, maka kita akan beroleh pahala.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4taJFU2rg
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment