Oleh ROSLAN MOHAMED
KEMUNCULAN tanggal 12
Rabiulawal saban tahun merupakan detik yang paling bernilai bagi umat Islam
sejagat. Ia bukan sekadar tarikh semata-mata tetapi satu detik sejarah yang
amat berharga bagi sejarah peradaban umat manusia seluruhnya.
Tarikh tersebut sebenarnya
menjadi titik tolak kepada permulaan pembangunan umat dan pembinaan tamadun
baru bagi sejarah kehidupan manusia kerana pada tarikh tersebut lahirnya
Rasulullah s.a.w.
Baginda diutus sebagai pembawa
rahmat dan penjana kebahagiaan kepada alam sejagat. Ia dinyatakan dengan jelas
oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan tidaklah Kami utuskan
engkau (Muhammad) kecuali sebagai pembawa rahmat kepada sekelian alam.
(al-Anbiya: 107)
Rasulullah dilahirkan ketika
umat manusia amat memerlukan kepimpinan baru yang mampu untuk membimbing mereka
ke arah menjadi umat yang sejahtera dan gemilang. Sebelum kelahiran baginda,
umat manusia berada dalam suasana keruntuhan dan huru hara yang dahsyat.
Rosaknya sistem nilai dan peradaban hidup, binasanya akhlak dan moral seharian
dan jauhnya mereka dengan jalan hidayah dan kebenaran.
Apa yang pasti, mereka tidak
memiliki panduan yang secukupnya demi untuk menjalani bentuk kehidupan yang
bermoral tinggi. Pembunuhan, perbalahan, perpecahan, zalim menzalimi, penindasan
adalah perkara biasa dalam realiti kehidupan. Justeru mereka dinamakan
masyarakat jahiliah, iaitu jahiliah dalam konteks tidak memiliki kekuatan agama
sebagai pemandu dalam kehidupan.
Kelahiran Rasulullah s.a.w.
adalah kelahiran bermesej. Mesej kelahiran baginda adalah bersifat komprehensif
atau menyeluruh. Ia terkandung dalam konteks untuk membimbing umat, mengukuhkan
nilai hidup mereka dan mengajak ke arah jalan yang diredai Allah. Mesej inilah
yang digambarkan oleh baginda dalam riwayat Imam Ahmad yang bermaksud: Bahawasanya
aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Menurut Muhammad al-Ghazali,
mesej pembangunan akhlak yang ditaja oleh Rasulullah adalah jawapan yang paling
unggul dalam suasana umat amat memerlukan titik-titik perubahan dalam peradaban
mereka.
Mesej yang dibawa oleh
Rasulullah sebenarnya adalah satu penegasan betapa umat manusia semestinya
bangkit untuk menegakkan kembali sebuah kehidupan bermoral yang sesuai dengan
status manusia sebagai makhluk yang terbaik di sisi Allah. Ini ditegaskan dalam
firman Allah yang bermaksud: Demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia
dengan sebaik-baik kejadian. (at-Tin: 4)
Oleh itu, persoalan pembangunan
umat seterusnya memperkasakan nilai-nilai kemuliaan hidup merupakan isu paling
utama dalam situasi perkembangan semasa dewasa ini. Melihat kepada pelbagai
masalah yang dihadapi oleh umat Islam, maka tibalah masanya untuk mereka
menghayati bahawa tarikh kelahiran Rasulullah adalah titik permulaan untuk
mengorak langkah ke arah cara hidup yang sempurna sebagaimana yang dikehendaki
oleh pencipta alam iaitu Allah s.w.t.
Pembangunan yang ingin dibina
pula adalah pembangunan yang bersifat menyeluruh iaitu meliputi aspek
kerohanian dan jasmani. Umat Islam hari ini berkewajipan membangun semula dalam
konteks pemikiran atau pembangunan minda, pembangunan iman atau akidah,
pembangunan jiwa atau hati, pembangunan sikap atau akhlak, pembangunan ilmu dan
keintelektualan, pembangunan kesatuan hati dan perasaan dalaman umat.
Semua aspek tersebut perlu
dibangunkan melalui proses yang berterusan dan berkesinambungan. Pokok
pangkalnya ialah dengan kembali semula kepada landasan yang diajar dan
diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w.
Dalam hal ini, Baginda berpesan
kepada seluruh umat ketika mana baginda mengerjakan ibadah haji yang terakhir,
dengan sabda baginda yang bermaksud: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara,
selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya maka kamu tidak akan sesat
selama-lamanya, iaitu al-Quran dan al-hadis.
Justeru, setiap aspek dalam
kehidupan umat perlu diberikan nafas baru.
Ia memerlukan anjakan yang
bersifat menyeluruh. Rasulullah melalui risalah dakwahnya membimbing umat
manusia supaya membangunkan nilai keimanan yang mantap terhadap Allah. Ini
kerana ia akan mendorong umat manusia memahami erti dan tujuan hidup ini dan
merealisasikan fungsinya dalam konteks peribadatan kepada Allah.
Nilai seumpama ini akan
menjadikan umat manusia berada dalam bimbingan hidup yang bernilai tinggi dan
akan terikat dengan situasi kebahagiaan yang sejati. Oleh itu, saranan utama
dalam konteks dakwah baginda ialah supaya manusia segera kembali kepada agama
dan berpegang teguh dengan tali Allah.
Pembangunan sikap dan akhlak juga
merupakan jalan utama yang memungkinkan terbinanya peradaban yang jitu dalam
kehidupan umat sejagat. Akhlak yang baik adalah neraca kepada segala kebaikan
dan kemuliaan dalam realiti kehidupan. Sebaliknya akhlak yang buruk adalah
gambaran kepada kemusnahan dan keruntuhan nilai kemanusiaan itu sendiri.
Dalam hal inilah, Rasulullah
menekankan agar umat manusia sentiasa berakhlak dengan akhlak yang baik walau
di mana mereka berada. Ini sesuai dengan saranan baginda dalam hadis yang
maksudnya: Berlaku baiklah kamu dengan sesiapa sahaja walau di mana kamu
berada. (Riwayat Tirmizi).
Sejarah membuktikan betapa
peradaban sesuatu umat akan binasa di saat hancurnya akhlak umat tersebut. Oleh
itu, pembangunan sikap dan akhlak adalah sesuatu yang mesti diambil peduli oleh
setiap insan muslim dalam apa situasi sekali pun. Melihat kepada perkembangan
akhlak dan sikap semasa masyarakat kita pada hari ini, ia amat membimbangkan
banyak pihak. Terutamanya apabila ia melibatkan permasalahan generasi muda umat
Islam.
Berkualiti
Sesuai dengan hasrat mencapai
negara maju dalam dekad akan datang, maka tiba masanya umat Islam dalam negara
ini terutamanya kepimpinan masyarakat bahkan seluruh umat mengorak langkah yang
sewajarnya ke arah untuk membina kembali nilai-nilai peradaban yang berkualiti.
Seterusnya menghapuskan semua gejala yang merosakkan boleh umat dan peradaban
mereka.
Rasulullah s.a.w. juga
menekankan pentingnya pembangunan ilmu dan keintelektualan. Terdapat banyak
saranan oleh baginda yang berkaitan dengan pentingnya menguasai ilmu. Bahkan
menuntut ilmu adalah wajib dalam ajaran Islam, berdasarkan sabda baginda yang
bermaksud: Menuntut ilmu adalah wajib bagi seorang Muslim.
Penguasaan ilmu dan
kemantapannya akan menjadikan umat semakin maju dan akan menjadi pemangkin
kepada faktor kejayaan dalam pelbagai lapangan kehidupan. Hari ini, umat Islam
gagal dan kecundang dalam pelbagai aspek hidup disebabkan gagalnya mereka
menguasai pelbagai cabang ilmu semasa termasuklah ilmu keagamaan.
Rasulullah adalah tokoh dalam
segala cabang ilmu sama ada ilmu keagamaan mahupun ilmu keduniaan. Baginda
adalah contoh terbaik dalam penguasaan terhadap segala cabang ilmu tersebut.
Justeru, umat masa kini sewajarnya kembali merebut dalam konteks penguasaan
ilmu sama ada ilmu akhirat mahupun ilmu dunia. Umat Islam sudah lama terpinggir
dalam aspek penguasaan mereka terhadap segala cabang ilmu.
Betapa sudah banyak ilmu umat
Islam dikuasai oleh kuasa Barat hingga menjadikan umat Islam ketinggalan dalam
segala bidang. Oleh itu, amat wajar umat Islam membina semula tahap-tahap
penguasaan mereka terhadap ilmu yang sememangnya menjadi hak milik mereka.
Justeru, di saat menyambut
kedatangan Maulid al-Rasul kali ini, umat Islam seharusnya membangunkan kembali
cita-cita dan kemahuan mereka untuk menguasai segala cabang ilmu dan selayaknya
mereka dikenali umat yang terbaik (khair ummah) di sepanjang zaman. Umat Islam
sememangnya memiliki keupayaan yang cukup untuk menguasai segala bidang ilmu,
termasuklah ilmu bersifat semasa seperti ilmu sains dan teknologi.
Kita dapat lihat, betapa
negara-negara umat Islam memiliki pelbagai kepakaran dan kemahiran. Jika segala
kemahiran dan kekuatan itu diguna pakai dengan cara yang sewajarnya, pasti umat
Islam mampu menguasai alam sejagat dalam pelbagai bidang bahkan menjadi umat
contoh kepada masyarakat lain.
Berasaskan misi kerasulan
tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa umat Islam sememangnya sudah memiliki
arah pandu yang jelas sama ada melalui ajaran al-Quran atau al-hadis bahkan
dari jejak-jejak hidup Rasulullah itu sendiri. Apa yang perlu ialah kebangkitan
semula perlu dilakukan dalam konteks menyuburkan minda yang sejahtera,
memperkasakan jiwa keimanan dan menyusun langkah atur yang sewajarnya.
Semuanya itu dengan panduan
sejarah perjuangan Rasulullah bermula dari saat kelahiran sehinggalah saat
kewafatan Baginda. Ingatlah, umat Islam tetap umat terbaik dan umat contoh
hasil dari sejarah perjuangan baginda Rasulullah s.a.w.
* ROSLAN MOHAMED ialah
pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4tQGMa9Oi
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment