Ad

Saturday, 9 September 2017

Kisah Al-Quran Siri 20



ARKIB : 15/12/2006

Dakwah dan kelebihan Nabi Ilyasa’
DAN Ismail, Ilyasa’, Yunus dan Luth. Masing-masingnya Kami lebihkan darjat (berikan kelebihan) atas umat (di masanya). (al-An’aam: 86)

NABI Ilyasa’ merupakan salah seorang daripada nabi-nabi daripada kalangan Bani Israel. Nama Ilyasa’ telah disebutkan dalam al-Quran dalam satu baris yang cukup indah iaitu sebagai orang yang paling baik.

Sejak kecil baginda sudah menunjukkan ketaatannya kepada Allah s.w.t.. Baginda sering kali mengikut Nabi Ilyasa’ berdakwah. Sebab itulah Nabi Ilyasa’ mendapat kepercayaan daripada Nabi Ilyas untuk menggantikannya selepas kewafatan baginda.

Nabi Ilyasa’ telah dilantik oleh Nabi Ilyas menggantikannya sebagai pemimpin kepadan bani Israel. Kaum Bani Israel pada ketika itu masih berada dalam kekufuran. Mereka melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.

Selain itu, mereka enggan menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi Ilyasa’. bagi mereka, agama yang diwarisi oleh nenek moyang mereka adalah agama yang patut mereka anuti.

Namun begitu, Nabi Ilyasa’ tetap tidak berputus asa. Baginda tetap sabar dan tabah menyebarkan dakwahnya walaupun mendapat bantahan daripada kaumnya. Baginda telah menerima pelbagai tohmahan dan cacian tetapi baginda tidak sedikitpun berasa marah.

Baginda menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. itu dengan penuh keikhlasan. Niat baginda hanyalah untuk membawa kaumnya keluar daripada kesesatan dan kembali menyembah Allah s.w.t.

Nabi Ilyasa’ mula menyampaikan dakwahnya selepas kewafatan Nabi Ilyas. Baginda menyeru kaumnya supaya menyembah Allah dan berpegang teguh serta mengikut syariat.

Sepanjang dakwahnya, banyak peristiwa yang telah berlaku seperti pembunuhan, pengusiran orang-orang mukmin, raja-raja yang angkuh dan sombong dalam pemerintahan dan sebagainya.

Oleh itu, Nabi Ilyasa’ menasihati dan menakut-nakutkan mereka dengan seksaan-seksaan yang akan diterima daripada Allah s.w.t. jika masih tidak mahu meninggalkan amalan lama mereka. Namun mereka masih juga tidak mempedulikan seruan Nabi Ilyasa’ itu.

Walaupun begitu, terdapat juga segelintir daripada kaum Bani Israel mengikut seruannya. Mereka yang mengikut seruan dan dakwahnya hidup dalam suasana yang penuh dengan rukun dan damai sehinggalah Nabi Ilyasa’ meninggalkan kesan yang cukup besar kepada kaumnya. Mereka sangat sedih di atas kewafatan Nabi Ilyasa’.

Selepas beberapa tahun kewafatan Nabi Ilyasa’, kaum Bani Israel mula meninggalkan ajaran yang dibawa oleh baginda. Mereka kembali semula kepada ajaran nenek moyang mereka. Semakin hari mereka semakin kufur terhadap Allah s.w.t. Sewaktu kaum Bani Israel berada dalam kekufuran itu, maka lahirlah seorang nabi yang diutuskan oleh Allah s.w.t. untuk membawa dan menyeru umatnya ke jalan kebenaran iaitu Nabi Yunus.

*Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx.com.

PENGAJARAN

*Setiap perkara yang berlaku dan dijadikan oleh Allah s.w.t. itu mempunyai hikmah di sebaliknya.

*Setiap usaha yang dilakukan dengan penuh sabar, pastinya akan mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t.

PERBENDAHARAAN KATA

anuti: menerima satu ajaran sebagai pegangan

bantahan: tentangan

syariat: hukum agama

INFORMASI

Nabi Ilyas adalah guru kepada Nabi Ilyasa’. Dalam al-Quran, nama Ilyasa’ juga disebut

dengan panggilan Ilyasin sebagaimana yang disebut dalam surah Shaad ayat 48.

Maklumat

KAMI mengucapkan terima kasih atas komen pembaca berkenaan siri ke 16 Kisah al-Quran: Ujian Allah Kepada Nabi Daud. Kami amat menghargai keprihatinan para pembaca. Berikut adalah huraian daripada pihak kami:

1. Tafsiran kisah ayat 21-25 surah Shad pelbagai

Tidak dinafikan bahawa tafsir ayat di atas sebenarnya mempunyai perselisihan pendapat di antara para ahli tafsir. Segelintir para ahli tafsir berhati-hati tanpa membicarakan kisah ayat ini secara teliti sebagaimana yang dikemukakan oleh Al-Alamah al-Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya dan sebahagian yang lain. Manakala sebahagiannya pula cuba menghuraikan mesej yang hendak disampaikan dengan mengambil sumber-sumber yang ada (termasuk Israiliyyat yang pelbagai) serta bersikap positif terhadap tafsiran ayat ini tanpa mengaibkan para nabi dan rasul yang telah dipilih Allah s.w.t..

Kisah ini dirujuk daripada kitab tafsir al-Qurtubi yang diambil riwayat daripada Ibnu Abbas walaupun mengandungi penambahan oleh ar-Raqasyi dalam riwayat Anas bin Malik dan beberapa riwayat yang lemah.

Pihak kami tidak akan menjadikan sumber yang lemah ini sebagai hujah tetapi memadai untuk kita mengambil iktibar dan pengajaran sebagai peringatan kepada semua pembaca. Tentang kebenarannya biarlah kita serahkan kepada Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui.

Disiplin mengambil kisah-kisah Israiliyyat telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. diriwayatkan daripada Abu Hurairah: "Adalah Ahli Kitab itu membaca Taurat dalam bahasa Ibrani dan menafsirnya ke dalam bahasa Arab kepada orang-orang Islam, Rasulullah bersabda, "Janganlah kamu langsung mempercayai berita yang disampaikan oleh Ahli Kitab dan jangan pula kamu mendustainya, katakanlah, "Aku beriman kepada Allah." (Riwayat Bukhari)

2. Tiada niat memburukkan para nabi

Kami juga percaya bahawa nabi dan rasul adalah benar dan dibangkitkan oleh Allah untuk berdakwah kepada umatnya. Perlu difahami bahawa Kisah Ujian Allah Buat Nabi Daud tidak bermaksud untuk menggambarkan Nabi Daud seorang raja yang licik dan sengaja mengambil isteri panglima tenteranya sendiri. Pihak kami telah mengolah sebaik mungkin supaya kesucian baginda terpelihara.

Untuk kefahaman yang jelas, pengarang Rangkaian Cerita-cerita Dalam Al-Quran, Haji Bey Ariffin menghuraikan pendapat-pendapat seperti berikut:

"Berbagai-bagai pendapat telah dikemukakan para ahli tafsir mengenai cerita perkahwinan Nabi Daud dengan Sabigh ini. Ada yang mengatakan bahawa Nabi Daud mengahwininya setelah yakin bahawa suaminya telah mati dalam medan perang.

Pendapat yang lain mengatakan pula bahawa setelah suami Sabigh hilang tanpa berita sekian lama, maka anggaplah bahawa talaknya telah gugur, barulah dikahwinkannya dengan Nabi Daud.

Ada juga berpendapat bahawa pada zaman itu tidak melarang seorang laki-laki melamar perempuan bersuami asalkan si perempuan itu ingin kepada lelaki yang melamarnya, lalu diminta fasakhnya. Bahkan ada pula sebahagian para mufassir menolak sama sekali perkahwinan Nabi Daud dengan Sabiq itu dan dianggap berita itu sebagai cerita-cerita dongeng Israiliyyat yang tak patut dipercayai."

3. Pengajaran

Apa yang kami cuba ketengahkan ialah pengajaran di sebalik kisah. Hanya kita perlu merenung hikmah Allah melantik para nabi dan rasul-Nya daripada kalangan manusia biasa. Sebagaimana Rasulullah pernah ditegur oleh Allah dalam peristiwa Abdullah ibn Maktum dan beberapa peristiwa yang lain, namun teguran dan petunjuk Allah sedikit pun tidak mencacatkan kerasulan baginda malah teguran tersebut menjadikan baginda semakin dikagumi. Nilai yang dapat kita kongsi ialah Allah tidak pernah leka dan alpa terhadap hamba-hamba-Nya tanpa mengira darjat dan status mereka.

Hanya bezanya ialah para nabi dan rasul mengambil berat akan teguran Allah lantas cepat taat dan patuh untuk berubah berbanding kita yang kadangkala berat untuk menerima teguran dan terus ingkar walaupun teguran tersebut untuk kebaikan diri sendiri.

Matlamat kita adalah sama iaitu mendidik generasi baru berakhlak mulia. Cuma jalan yang kami tempuhi adakala tersilap langkah. Kami memohon maaf atas kekeliruan yang dihadapi. Insya Allah, kami akan memperbaikinya untuk cetakan yang seterusnya.

Semoga huraian ini serba sedikit dapat menghuraikan kekeliruan yang dihadapi oleh pihak tuan/puan/cik. Sekiranya tuan/puan/cik mempunyai sebarang pendapat kami memberi ruang yang terbuka demi kebaikan agama. Semoga kisah ini menjadi pengajaran buat semua pihak.

Sekian, terima kasih.

IMRAN AZMI

Ketua Unit Buku Agama

Edusystem Sdn. Bhd.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4sFB8fLNj
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment