ARKIB : 29/04/2007
SOALAN:
Saya difahamkan bahawa beberapa
guru agama mengatakan tidak boleh membaca al-Quran tanpa wuduk sedangkan
basmalah itu pun satu ayat daripada al-Quran juga. Hadis Rasulullah ada
mengatakan setiap urusan yang baik itu apabila tidak dimulakan dengan basmalah ianya
kurang berkat. Saya pun jadi musykil bila kita hendak mandi janabah kita
disuruh membaca basmalah. Begitu juga mereka yang hendak berwuduk disunatkan
juga membaca basmalah. Adakah betul cakap mereka tadi ?
Sufyan Bin Misdar, Tawau.
JAWAPAN: Membaca basmalah
hukumnya adalah sunat, lebih-lebih lagi apabila kita ingin memulakan pekerjaan
yang baik-baik. Sabda Nabi yang bermaksud: setiap urusan penting yang tidak
dimulakan dengan basmalah akan terputus (tidak berkat) dan banyak lagi hadis
lain yang menyatakan kelebihan basmalah tersebut. Adapun semasa hadas kecil,
kita tidak dilarang untuk membaca al-Quran dan basmalah tetapi semasa dalam
hadas besar dan berjanabah sahaja yang kita dilarang membacanya. Sebab itu kata
ulama: bagi mereka yang berhadas besar tidak dibenarkan untuk membacanya
melainkan dengan niat zikir sahaja atau tanpa sebarang niat, kerana kalau
diniatkan membaca al-Quran sahaja atau serta zikir maka ianya dilarang juga.
Kerana haram bagi mereka yang berjanabah untuk mebaca al-Quran atau disertakan
dengan tujuan yang lain.
Adapun membacanya tanpa
sebarang niat seperti terlancar lidahnya atau tujuan zikir semata-mata atau doa
atau untuk mengambil berkat atau hafalan dan sebagainya maka ianya dibenarkan.
Ini kerana di samping bukti dan tujuan, bacaan itu tidak akan menjadi al-Quran
melainkan dengan ada kasad dan niat membacanya, sekalipun dengan apa (bacaan)
yang tidak ada susunannya selain dalam al-Quran sahaja seperti surah al-Ikhlas.
Kata ulama lagi bacaan tersebut diharamkan apabila dapat didengar oleh dirinya
namun kalau bacaan itu tidak dapat didengar seperti disebut di dalam hati
sahaja atau gerak lidahnya sahaja tanpa berbunyi dan berlafaz maka hams
(bisikan hati) itu dibolehkan. Wallahualam.
Bayangkan lelaki lain semasa
bersetubuh
Soalan: Saya ingin bertanya dan
musykil, kerana setiap kali bersama suami, saya selalu membayangkan lelaki lain
untuk meningkatkan rangsangan dan keberkesanan dalam persetubuhan itu. Suami
saya tidak mengetahui perangai pelik saya ini. jadi bolehkah saya berbuat
demikian untuk kebahagiaan kami?
Isteri keliru,
Labok Machang.
JAWAPAN: Persoalan anda ini,
memerlukan banyak penjelasan dan kajian yang lebih terperinci. Ini kerana
bayangan yang dinyatakan itu tidak jelas. Adakah gambaran yang anda lakukan itu
dengan membuat persetubuhan dengan orang lain dan bukan suami anda? Jika
demikian, maka itulah yang dikatakan zina hati. Sedangkan dosa itu apa yang
terguris di hati dan malu untuk ditonton atau diketahui manusia lain, atau
melakukannya dengan suami anda yang dibayangkan rupanya seperti lelaki lain,
sebab kalau begitu tidak boleh dikatakan zina. Malah masih dalam lingkungan
yang halal lagi dibenarkan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
Apabila seseorang itu terpesona melihat seorang wanita dan terdapat rangsangan,
maka bersegera kembali ke rumahnya sendiri, kerana di rumahnya juga, kamu akan
dapati seperti (apa yang dapat kita faham itu juga adalah gambaran) apa yang
ada padanya.
Ertinya perasaan hati yang di
luar kawalan itu tidak diambil salah tetapi perlu disalurkan perasaan tersebut
ke tempat yang dibenarkan iaitu suami atau isteri masing-masing dan jangan
sekali-kali dengan orang lain. Terimalah pasangan kita itu seadanya, itulah
punca kebahagiaan rumah tangga, boleh jadi mereka yang kita rasakan indah dan
menawan itu tidak dapat menandingi pasangan kita yang ada bersama di samping
kita. Dan ingatlah pesanan Allah s.w.t. yang bermaksud: sekiranya kamu benci
(pasangan kamu itu) pada sesuatu, barangkali banyak lagi kebaikan lain yang ada
pada dirinya (selama ini) (an-Nisaa ayat 19). Sehingga kita dapat hidup selesa
di sampingnya, sedangkan orang lain yang kita rindukan itu, mungkin cuma bala
yang akan menderitakan hidup kita selamanya. Wallahualam.
Doa selepas azan
Soalan: Saya melihat dalam doa
selepas azan kita selalu diajar supaya memohon diberikan wasilah (kedudukan
yang tinggi dan diberikan kuasa syafaat) kepada Nabi kita. Apakah tawassul itu
harus dan bagaimanakah hukumnya kita bertawassul dengan mereka tertentu seperti
Nabi dan para salihin?
Mohd Suki Abdullah, Kota
Tinggi.
Jawapan: Umat Islam perlu sedar
bahawa tauhid itu maksudnya tidak menyekutukan Allah dengan yang lain atau
menyerupakan atau menyamakan-Nya dengan yang lain sekali-kali. Mereka perlu
jelas dalam perkara ini. Pengabdian diri yang mutlak dan memohon pertolongan
hanya dikhususkan kepada Allah semata-mata, sesuai dengan pengakuan kita dalam
solat dan bacaan fatihah, hanya kepada-Mu kami sembah dan hanya kepada-Mu kami
mohon pertolongan. Jadi kuasa syafaat itu akan dikurniakan kepada Nabi kita
dengan izin Allah seperti firman-Nya bermaksud: tidak ada sesiapa yang dapat
memberi syafaat disisi-Nya melainkan dengan izin-Nya semata-mata (al-Baqarah
ayat 255). Ayat ini memberi tahu wasilah atau kuasa syafaat itu, akan
dikurniakan kepada mereka yang tertentu sahaja bukan semua orang, iaitu mereka
yang ada dikurniakan wasilah atau kedudukan yang tinggi dan istimewa disisi
Tuhannya, seperti Nabi kita, para salihin dan lain-lain. Sebab itu bila kita
sudah faham hakikat ini kita dibenarkan bertawassul atau minta dengan Allah
akan keberkatan syafaat Nabi kita di hari akhirat nanti tanpa ragu-ragu lagi.
Tetapi bagi mereka yang belum yakin dengan hakikat tauhid tadi, seperti mereka
yang baru dengan Islam perlu awasi supaya tidak berlaku kekeliruan antara hamba
dan Tuhannya atau makhluk dan khaliknya. Sebab itu kita disuruh bila berdoa
supaya selepas alhamdulillah mengucapkan selawat atau bertawassul dengan
berselawat kepada Nabi supaya doa tersebut diharapkan lebih berkat dan lebih
dekat dengan istijabahnya, kalau tidak doa itu akan tergantung-gantung tidak
akan diangkat ke hadhrat Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam hadisnya.
Begitu juga bila kita berselawat. Sebagai contuh selawat tafrijiah tidakkah di
dalamnya ada tawassul dengan berkat Nabi kita, iaitu pada kata allazi tanhallu
bihi luqadu wa tanfariju bihi lkurabu hingga akhir selawat tersebut kerana apa
yang jelas dari dhamir bihi itu kembali kepada Nabi sendiri atau keberkatnya.
Demikian juga selawat lepas solat yang kita semua amalkan selalu seperti
katanya yang menyelamatkan kita dengannya (dengan sebab berkat selawat Nabi
ini) dari segala huru-hara bencana di akhirat, dan dapat menunaikan dengan
(sebab berkat selawat ini) akan segala hajat sehingga akhirnya. Jadi mereka
yang menolak tawassul ini sepatutnya jangan membaca doa atau selawat ini. Bagi
kita orang Islam Junjungan kita Nabi Muhammad itu, walau bagaimana tinggi
darjatnya sekalipun, tidak lebih dari seorang hamba Allah. Kerana doa atau
permintaan itu ditujukan hanya kepada Allah bukan kepada orang lain atau mana-mana
hamba-Nya. Tetapi kalau ada mereka yang menyerupakan Allah dengan yang lain,
sekalipun tentang kedudukan-Nya (bersemayam) atas arasy seperti kita juga,
kerana mereka berpegang dengan ayat mutasyabih yang berbunyi Allah bersemayam
atas arasy (surah Taha ayat 5), yang mana kita diperingatkan bahawa mereka
yang ada dalam hatinya penyakit zaigh akan mengikut sahaja apa yang kesamaran
dari ayat mutasyabih itu, kerana mencari fitnah (al Imran ayat 7) sedangkan
mereka yang rasikhin itu, akan beriman dengannya (mengembalikan ayat mutasyabih
tersebut kepada ayat muhkamat yang menjadi induk al-Quran itu sendiri).
Yakinlah mereka yang menolak tawassul itu, atau tidak mahu mengakui syafaat
Nabi itu, langsung mereka tidak akan dikurniakan syafaatnya, ya Allah! izinkan
kami untuk memperoleh syafaatnya yang besar di akhirat nanti, jangan Engkau
haramkan kami dari keberkatan syafaatnya. Wallahualam.
SEBARANG kemusykilan bolehlah
dialamatkan kepada:
Kemusykilan Anda Dijawab,
Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan .com.my.
Pembaca hendaklah menyatakan
nama penuh dan nama samaran untuk siaran.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4tYX4IWxr
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment