Ad

Saturday 30 September 2017

Perlu contohi Tun Razak



ARKIB : 16/06/2007

KUALA LUMPUR 15 Jun – Para pemimpin muda UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menghayati dan mencontohi kehidupan, khidmat dan semangat juang Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam membela rakyat serta membangunkan negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Allahyarham memberikan sumbangan dan pengorbanan yang terlalu besar kepada negara daripada pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), penubuhan Felda dan Felcra, pembangunan luar bandar dan pencetus Pernas, Petronas serta MAS.

‘‘Kisah kepimpinan beliau penuh dengan coretan suka dan duka yang menunjukkan bagaimana wawasan global dapat dicapai sambil membawa manfaat besar kepada negara.

‘‘Alangkah ruginya jika kita sebagai pewaris khazanah kepimpinan yang tidak terkira nilainya, tidak mengambil peluang untuk belajar daripadanya supaya kita boleh meneruskan perjuangan beliau yang masih belum selesai,’’ katanya pada majlis perasmian Seminar Legasi Tun Razak Kepada Pembangunan Negara di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, DEB yang merupakan cetusan idea Bapa Pembangunan Negara itu membuktikan Allahyarham amat memahami latar belakang masyarakat majmuk negara dan prihatin kepada bangsa.

‘‘Allahyarham menginsafkan semua pihak bahawa orang Melayu terlalu jauh ketinggalan.

‘‘DEB bukan bertujuan merompak hak dan keistimewaan kaum lain tetapi sekadar memberi keadilan kepada bangsa Melayu.” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein akan terus menjadi model kepada pemimpin muda untuk berkhidmat kepada rakyat.

Katanya, ini kerana semangat dan keikhlasan beliau untuk membangunkan bangsa dan negara jelas terbukti menerusi dasar-dasar beliau yang menjadi asas perpaduan nasional sehingga hari ini.

Allahyarham katanya, sentiasa berusaha gigih memastikan pembangunan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan ekonomi dilaksanakan secara adil di seluruh negara.

Justeru beliau kesal dengan usaha segelintir pihak yang cuba menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Allahyarham atas alasan menghalang pembangunan negara.

‘‘Golongan ini turut beranggapan konsep Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan parti politik pelbagai kaum, tidak relevan, tambah beliau.

‘‘Maka adalah penting golongan muda pada hari ini terus mempertahankan asas-asas kekukuhan nasional yang membawa kepada kejayaan negara selama ini daripada ancaman anasir-anasir ini,” katanya pada majlis perasmian Seminar Legasi Tun Razak kepada Pembangunan Negara di sini hari ini.

Khairy yang juga Pengerusi Akademi Pemuda berkata, setiap Perdana Menteri yang memerintah negara ini mempunyai sumbangan masing-masing terhadap pembangunan negara.

Bagaimanapun beliau berkata, kepimpinan Allahyarham paling menyerlah kerana kejayaan membawa pembangunan selepas negara mengalami kerumitan termasuk peristiwa 13 Mei 1969.

‘‘Allahyarham sentiasa berpegang pada prinsip bahawa dalam apa juga keadaan yang dihadapi, kuasa sentiasa terletak di bahu rakyat dan prinsip itulah yang berjaya menyatupadukan semula rakyat selepas menghadapi peristiwa hitam itu,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak generasi muda untuk meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu termasuk Allahyarham dengan mencontohi semangat dan keikhlasan beliau.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Persidangan&pg=pr_02.htm#ixzz4u9JuAbty
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment