ARKIB : 20/06/2007
Manusia berasal dari Nabi Ada
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD
ALBAKRI
Syeikh al-Maraghi berkata:
Selepas Allah perintahkan mereka yang beriman dengan nabinya supaya memeluk
Islam keseluruhannya dan mereka dalam kepatuhan tanpa bangkangan.
Sayugia hidayah yang datang
kepada seseorang daripada tuhannya tidak akan berjalan dalam melakukan amalan
kepada yang khilaf, tetapi wajib atasnya mengikut petunjuk-Nya. Akhirnya
dijelaskan dalam ayat ini.
Firman Allah, Pada mulanya
manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah
mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar
gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi
amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah
menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi
keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia
mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang
melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka
Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan
yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama
sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah
kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya.
Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).
(Al-Baqarah: 213)
Firman Allah s.w.t: Pada
mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi
setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi
khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan
pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka).
Al-Qurtubi berkata: Dengan
maksud atas satu agama. Sedangkan Ubai bin Kaab dan Ibn Zaid pula berkata:
Dikehendaki dengan manusia ialah segala anak Adam ketika Allah keluarkan mereka
daripada Adam lantas mereka ikrar dengan wahdaniah-Nya.
Mujahid berkata: Manusia adalah
Adam sahaja kerana dinamakan satu dengan lafaz jamak (ramai) kerana ia
merupakan asal.
Ibn Abi Khaisamah berkata:
Semenjak Allah menciptakan Adam hingga dibangkitkan Muhammad s.a.w selama 5,800
tahun. Walaupun begitu dikatakan lebih daripada itu dan dikatakan antara Nabi
Adam dengan Nabi Nuh 1,200 tahun sedangkan Nabi Adam hidup hampir 960 tahun.
Sayid Qutub berkata: Kisahnya
begini. Dahulu manusia merupakan satu umat sahaja. Mereka hidup di atas satu
agama, satu kepercayaan dan kefahaman sahaja. Ini merupakan isyarat kepada
sekumpulan umat manusia yang pertama dan kecil dari keluarga Adam dan Hawa dan
anak-anak pinak keturunan mereka sebelum timbulnya kefahaman-kefahaman dan
kepercayaan-kepercayaan.
Keturunan sahaja
Di sini al-Quran menjelaskan
bahawa manusia itu adalah berasal dari keturunan sahaja, iaitu dari zuriat
anak-anak keluarga pertama Adam dan Hawa. Dan telah menjadi kehendak masyiah
Allah menciptakan seluruh umat manusia dari hasil zuriat keturunan satu
keluarga yang kecil untuk menjelaskan dasar keluarga dalam kehidupan mereka,
dan menjadikan keluarga sebagai asas pertama masyarakat.
Kemudian zaman semua manusia
berada dalam satu tahap, satu aliran, satu kefahaman dalam lingkungan keluarga
yang pertama itu telah berlalu dan kini bilangan mereka telah berkembang
menjadi ramai dan berpecah di merata tempat.
Bentuk dan cara hidup mereka
juga telah berubah, dan disini muncullah di kalangan mereka berbagai-bagai
bakat kebolehan yang dijadikan Allah untuk mereka kerana sesuatu hikmat yang
diketahui-Nya iaitu hikmat kebaikan kehidupan manusia yang terletak di sebalik
kepelbagaian bakat-bakat kebolehan, kepelbagaian kekuatan dan tenaga dan
kepelbagaian haluan dan tujuan.
Firman Allah: Dan Allah
menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi
keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia
mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dikatakan jumlah nabi seramai 124,000
sedangkan rasul seramai 313. Ini dinukilkan daripada al-Qurtubi.
Al-Tabari berkata: Alif dan lam
pada al-Kitab dengan maksud lil ahdi iaitu dikehendaki dengan kitab Taurat.
Sayid Qutub berkata: Di sini ketaralah hakikat agung itu, iaitu antara tabiat
manusia ialah mereka berbeza pendapat, kerana perbezaan pendapat ini merupakan
salah satu lunas dari lunas-lunas tabiat kejadian mereka.
Perbezaan ini dapat
merealisasikan satu hikmat yang tinggi dari pelantikan manusia menjadi khalifah
di muka bumi ini, kerana urusan pemerintahan memerlukan kepada berbagai-bagai
fungsi dan berbagai-bagai bakat kebolehan dari bermacam-macam jenis. Ia supaya
semuanya bersepadu dan selaras dan dapat menyempurnakan peranan agungnya
menegakkan pemerintahan dan pembangunan di bumi mengikut perancangan induk yang
telah ditentukan di dalam ilmu Allah.
Oleh itu wujudnya kepelbagaian
bakat kebolehan merupakan sesuatu yang pasti untuk memenuhi kehendak-kehendak
kepelbagaian fungsi. Perbezaan bakat-bakat kesediaan itu perlu untuk melayani
berbagai-bagai keperluan.
Firman Allah: Dan (sebenarnya)
tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi
kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka
keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana
hasad dengki sesama sendiri.
Ibn Kathir berkata: Sebenarnya
mereka khilaf dalam banyak hal seperti dinukilkan daripada Zaid bin Aslam.
Mereka khilaf berhubung dengan penentuan kelebihan hari jumaat begitu juga
dengan kiblat di samping solat dan lain-lain.
Bertelingkah
Orang yang dahulunya telah
bersatu dalam perkara yang hak dan benar kemudiannya bertelingkah. Tidak lain
orang yang bertelingkah itu ialah orang-orang yang dikurniakan kitab Taurat dan
Injil. Tetapi masing-masing memperselisihkan isi-isi kitab itu di dalam cara
memahami dan memikirkannya semata-mata didorong oleh rasa hasad dengki dan
aniaya sesama mereka atau kerana tamakkan harta dunia dan berebut hendak
menjadi ketua.
Firman Allah: Maka Allah
memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang
diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah
sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke
jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).
Hidayat (petunjuk) dalam ayat
ini setengah ulama mentakwilkan dengan memilihkan hari Jumaat sebagai hari
kebesaran umat Islam bukannya hari Sabtu yang dibesarkan oleh kaum Yahudi
ataupun hati Ahad yang dibesarkan oleh kaum Nasrani.
Juga ditakwilkan dengan
berkiblat ke Mekah bukan ke Baitulmaqdis seperti orang Yahudi, ataupun
berkiblat ke timur seperti orang Nasrani. Ataupun ditakwilkan bahawa Nabi
Ibrahim bukanlah membawa syariat Yahudi atau Nasrani, tetapi yang dibawanya
ialah syariat Islam yang suci dari menyekutukan Allah.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4u9ogp3Ee
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment