ARKIB : 28/05/2007
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
ADA yang berpendapat bahawa
tokoh penyebar Islam di Aceh yang juga penyusun kitab Bahr Al-Lahut iaitu
Syeikh Abdullah Arif adalah sahabat kepada tokoh ulama yang diperkenalkan pada
kali ini.
Namun ada pula berpendapat
bahawa kedua-dua Syeikh Abdullah ini adalah orang yang sama.
Syeikh Abdullah Arif di Aceh
dikatakan berada di Aceh sekitar tahun 560H/1165M-1177M, sedangkan Syeikh
Abdullah al-Qumairi ini atau nama lengkapnya Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan
Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Jafar Qumairi berasal dari Syahir Yemen dan tiba
di Kedah tahun 531 H.
Kisah lengkap Syeikh Abdullah
al-Qumairi yang lengkap diriwayatkan oleh Muhammad Hassan bin Muhammad Arsyad
dalam al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Ia ditransliterasi dari tulisan Melayu/Jawi
kepada Latin/Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968.
Menurut Buyong Adil dalam
Sejarah Kedah (Terbitan DBP, 1980), kedatangan Syeikh Abdullah ke Kedah tahun
531H itu bersamaan dengan tahun 1136M. Menurut Bahayuddin Haji Yahaya dalam
Naskhah Jawi, tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1137M.
Diriwayatkan bahawa Syeikh
Abdullah al-Qumairi adalah seorang ulama yang berasal dari Yaman dan datang
bersama-sama dengan 11 orang sahabatnya.
Dalam buku Sejarah Kedah
Sepintas Lalu (Diterbitkan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti Utara
Malaysia, cetakan pertama 1987 hlm 10) oleh Haji Ibrahim Ismail, disebutkan
dalam Hikayat Merong Maha Wangsa bahawa Syeikh Abdullah al-Yamani
(berkemungkinan maksudnya Syeikh Abdullah al-Qumairi al-Yamani) adalah murid
kepada Syeikh Abdullah di Baghdad.
Jika disemak dengan teliti
kandungan buku tersebut, penulis menyimpulkan Islam datang ke Kedah jauh lebih
awal daripada kedatangan Syeikh Abdullah al-Qumairi.
Ini kerana dinyatakan dalam
buku tersebut bahawa sesudah merdeka ditemui sebuah nisan di Langgar, Kedah
yang berinskripsikan nama Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah/Alam dan
tarikhnya 291H bersamaan 903M. Haji Ibrahim Ismail memetik dari kertas kerja
berjudul Sejarah Kedah Dalam Kebangkitan Islam (1982) oleh Ismail bin Haji
Salleh.
Selain itu, ia juga disebut
oleh Abdullah Abbas Nasution dalam Islam 14 Abad dan manuskripnya diserahkan
kepada penulis. Lihat juga Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Abd. Rahman
dalam Islam di Brunei Darussalam, cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei,
cetakan pertama, 1992, halaman 30.
Mendahului
Melihat kepada perbandingan
tahun kedatangan di antara kedua-dua tokoh ini iaitu Syeikh Abdullah Arif di
Aceh (560H/1165M) dengan Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang
sahabatnya di Kedah, ini bermakna Syeikh Abdullah al-Qumairi di Kedah
mendahului kedatangan Syeikh Abdullah Arif di Aceh lebih kurang 29 tahun.
Namun apabila dibandingkan pula
dengan tarikh batu nisan Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah di Langgar,
Kedah pada tahun 291H/903M dengan tulisan M. Junus Djamil yang menyebut bahawa
kerajaan Islam telah lahir di Perlak tahun 225H/840M, yang dilihat perbezaannya
adalah lebih kurang 66 tahun.
Oleh itu, apabila dilihat
tahun-tahun tersebut perbezaannya tidak jauh. Walaupun dinyatakan oleh Haji
Ibrahim Ismail bahawa kerajaan itu lebih kurang 300 tahun lebih awal dari
kewujudan Kedah (Lihat Sejarah Kedah Sepintas Lalu, halaman 18).
Menurut buku Al-Tarikh
Salasilah Negeri Kedah dan dipetik oleh Buyong Adil bahawa Syeikh Abdullah
al-Qumairi dan 11 orang sahabatnya telah berhasil mengislamkan Raja Kedah yang
kesembilan, iaitu Maharaja Derbar/Durbar Raja II yang ketika itu berkedudukan
di Istana Bukit Meriam.
Namun, dalam Hikayat Merong
Maha Wangsa, bukan raja yang kesembilan, tetapi adalah raja yang ketujuh. Nama
raja juga berbeza, raja Kedah menurut hikayat tersebut bernama Phra Ong Maha
Wangsa.
Nama baginda raja itu juga
ditukar oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi dari Maharaja Derbar/Durbar Raja II @
Phra Ong Maha Wangsa menjadi Sultan Muzaffar Syah I(mangkat pada 13 safar 575
Hijrah / 1179 M). Negeri Kedah pula diberi nama Kedah Darul Aman.
Pada hari pengislaman raja
Kedah itu turut diislamkan pembesar-pembesar istana. Ini bererti dilakukan
pengislaman secara massal.
Pengislaman terhadap rakyat
pula diatur strategi bersama-sama di antara Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta
11 orang sahabatnya, bahkan disertai Sultan Muzaffar Syah I sendiri. Dalam
waktu yang singkat dan cepat, hasil kerjasama yang padu dan sepakat antara
ulama (Syeikh Abdullah al-Qumairi) dengan umara (Sultan Muzaffar Syah I)
tersebut, maka rakyat Melayu yang asal dalam kerajaan Kedah Darul Aman serta
merta memeluk Islam kesemuanya.
Ini membuktikan kejayaan dakwah
dan pendidikan Islam yang dijalankan oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi yang
benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab.
Oleh itu, secara langsung
Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah sebagai guru kepada Sultan Muzaffar Syah I,
malah guru bagi pihak keluarga istana Sultan Kedah Darul Aman. Oleh kerana
sangat kasih dan hormat Sultan Muzaffar Syah I kepada Syeikh Abdullah
al-Qumairi, baginda melantik ulama tersebut sebagai orang tua dan penasihatnya.
Untuk mengembangkan lagi
dakwahnya, Syeikh Abdullah al-Qumairi menyarankan supaya dibina sebuah menara
sebagai tanda kebesaran Islam di puncak Gunung Jerai. Menara tersebut dijadikan
sebagai tempat azan, untuk menyeru orang sembahyang. Maka, Sultan Muzaffar Syah
I memerintahkan supaya dilaksanakan saranan ulama tersebut.
Wasiat
Setelah binaan menara tersebut
hampir siap, Syeikh Abdullah al-Qumairi jatuh sakit dan ditakdirkan meninggal
dunia beberapa hari selepas itu. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan
wasiat agar jenazahnya dikebumikan di tanah yang rata berdekatan dengan menara
yang hampir siap itu. Sekitar kubur beliau itu dinamakan orang dengan Padang
Tok Syeikh.
Tuan Guru Haji Mahmud Nasri bin
Utsman (tokoh yang menghidupkan Silat Abjad), pernah bercerita kepada
murid-muridnya bahawa seorang wali Allah yang sangat terkenal iaitu Syeikh
Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi
beberapa kali. Beliau juga pernah sembahyang di tempat tanah lapang di Gunung
Jerai itu.
Kisah mengenai Syeikh Abdul
Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi itu dapat
diterima akal kerana wali Allah tersebut wafat dalam tahun 561H/166M sedangkan
Syeikh Abdullah al-Qumairi wafat dalam sekitar tidak berapa lama setelah
kedatangannya di Kedah itu (531H/1136M atau 1137M).
Mengenai Syeikh Abdullah
Al-Qumairi
* Datang ke Kedah pada tahun
1136 atau 1137.
* Berasal dari Yemen.
* Mengislamkan maharaja
Derbar/Durbar II di Istana Bukit Meriam.
* Menukar nama Raja kepada
Sultan Muzaffar Shah I.
* Guru Sultan Muzaffar Syah I.
* Memberi nama Kedah Darul
Aman.
* Mengarahkan dibina menara
kebesaran Islam untuk azan di Gunung Jerai.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4u7h5OF00
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment