Ad

Friday, 15 September 2017

Kisah Al-Quran - Siri 25


ARKIB : 19/01/2007

Kisah kelahiran Nabi Muhammad
DAN (ingatlah) apabila Isa anak Maryam (berkata), “Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku Rasulullah diutuskan kepada kamu membawa kebenaran dengan apa yang di sisiku (sebelumku) Taurat dan menyebarkan khabar gembira dengan kedatangan rasul selepasku yang bernama Ahmad (Muhammad).” (ash-Shaff: 6)

SETELAH beberapa lama berkahwin dengan Abdullah, Aminah pun mengandung. Abdullah sangat gembira apabila mendapat tahu mengenai berita itu. Abdullah berjanji akan bekerja dengan lebih kuat.

Pada suatu hari, Abdullah pergi berniaga di Syam. Namun dalam perjalanan pulang, beliau jatuh sakit dan meninggal dunia.

Jenazahnya dikebumikan di Madinah. Aminah ketika itu sedang hamil dua bulan. Dia menerima berita kematian suaminya dengan sedih.

Suatu malam, Aminah bermimpi. Dia melihat bulan jatuh ke ribanya. Apabila terjaga keesokan hari, dia pergi menemui orang-orang yang lebih tua untuk bertanyakan maksud mimpinya itu.

“Mimpi itu adalah tanda bahawa anak di dalam kandunganmu itu akan menjadi manusia yang dihormati,” kata mereka. Aminah berasa sangat gembira.

Di beberapa tempat di luar Mekah, terdapat perkampungan Yahudi dan Nasrani. Mereka percaya kepada kitab Taurat dan Injil. Mereka juga percaya bahawa seorang nabi akan hadir untuk memimpin manusia. Nabi itu adalah rasul yang terakhir.

Terdapat seorang pendita Nasrani yang alim. Beliau sangat menanti kehadiran nabi itu.

Pada suatu malam, beliau duduk berehat di luar rumahnya. Tiba-tiba beliau terpandang sebutir bintang yang sangat terang cahayanya sedang berkerlipan di langit.

Keesokkan harinya, beliau terus menemui kawan-kawannya.

“Aku percaya nabi yang kita nanti-nantikan itu telah dilahirkan,” katanya.

“Bagaimana tuan tahu? Tuan bermimpi malam tadi?”

“Tidak, aku melihat sebutir bintang terang cahayanya malam tadi,” jawabnya.

“Dari arah mana tuan nampak?” soal mereka.

Apabila pendeta itu mengatakan ia adalah dari kota Mekah, kawan-kawannya pun pergi menyiasat.

Mereka bertanya kepada orang-orang di Mekah. Setelah mengesahkan perkara tersebut, akhirnya mereka pulang ke tempat mereka semula.

“Memang benar. Ada seorang bayi dilahirkan di Mekah. Ibunya adalah Aminah iaitu menantu Abdul Mutalib, pemimpin Quraisy,” maklum mereka.

“Syukurlah, lepas ini kita tidak lagi ternanti-nantikan kelahiran rasul yang mulia itu,” kata pendeta tersebut.

Kelahiran Nabi Muhammad sangat menggembirakan Aminah dan Abu Mutalib.

Pada hari ketujuh kelahiran Baginda, Abu Mutalib telah membuat kenduri. Beliau menyembelih seekor unta untuk menjamu tetamunya.

Malangnya golongan Yahudi dan Nasrani enggan menerima Rasul yang bukan daripada golongan Bani Israel sebagaimana Nabi Musa dan Nabi Isa. Sedangkan Rasulullah dilahirkan daripada keturunan Arab Quraisy yang bersambung dengan Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx.com.

PENGAJARAN

* Apabila mendapat ujian daripada Allah, hendaklah kita sentiasa bersabar dan tabah menghadapinya.

* Ujian yang Allah turunkan akan menghapuskan dosa-dosa kecil.

* Setiap kebaikan dan keburukan seseorang itu ditentukan oleh Allah s.w.t., sebagai manusia biasa kita tidak berhak menentukan kedudukan seseorang.

PERBENDAHARAAN KATA

jenazah: mayat

berkerlipan: berkelip-kelip

pendeta: orang yang banyak ilmu

menjamu: memberi makan

INFORMASI

Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah. tarikh itu juga bersamaan dengan 20 April 570 Masihi. Nabi Muhammad s.a.w. diputerakan di rumah Abdul Mutalib di Mekah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4skAxWW9e
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment