Ad

Wednesday, 22 June 2016

TPM TUN ABDUL RAZAK MERASMIKAN SEMINAR PEMBANGUNAN NEGARA KE-2 22.6.1967

Pada hari ini dalam tahun 1967, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah merasmikan Seminar Pembangunan yang dilangsungkan di bangunan Mara Kuala Lumpur. Seminar yang dilangsungkan selama 10 hari itu dihadiri oleh para perwakilan daripada 14 buah negara iaitu India, Sri Langka, Ghana, Indonesia, Iran, Kenya, Malagasy, Nigeria, Filipina, Vietnam Selatan, Thailand, Turki, Uganda, Republik Arab Bersatu dan Malaysia sebagai tuan rumah. Dalam ucapannya semasa merasmikan seminar tersebut, Tun Razak menyifatkan persidangan ini sebagai "Sidang Kecil Bangsa-bangsa Bersatu" kerana ianya dihadiri oleh berbagai negara dari Benua Afrika, Asia Barat dan Asia. Sementara itu pengerusi Tetap Seminar tersebut Tan Sri Jamil Rais berharap seminar ini dapat memecahkan masalah bagi mencapai pembangunan di negara-negara masing-masing dengan bertukar-tukar pendapat mengenai pembangunan di negara masing-masing. Tun Abdul Razak juga memberitahu bahawa Kerajaan Malaysia telah berusaha untuk memberi kemakmuran hidup kepada rakyatnya. Dengan adanya seminar seperti ini adalah diharapkan sesuatu yang bernas akan dapat dirumuskan dalam seminar ini yang akan membawa faedah kepada semua pihak.

No comments:

Post a Comment