Ad

Saturday, 25 June 2016

Harimau tak cukup taring

AFDAH MUJAP FOTO: FAM
25 JUN 2016
 Harimau tak cukup taring
Harimau tak cukup taring
MASIH kedengaran suara sumbang di sebalik kemenangan Harimau Malaysia ke atas New Caledonia, pada aksi kedua siri Jelajah Ocenia 2016 di Noumea, Rabu lalu.

Ini kerana, anak buah Datuk Ong Kim Swee sekadar melakar kemenangan tipis    2-1. Ia dianggap sebagai satu keputusan ‘cukup makan’ kerana tuan rumah sebenarnya berada di ranking lebih rendah (183) berbanding Malaysia  (173).

Justeru, tanggapan awal peminat yang ingin menyaksikan Harimau Malaysia menang dengan margin gol yang cukup besar, meleset sama sekali.

Peminat (menerusi pemerhatian di Facebook FAM) juga menganggap ia bukanlah keputusan yang bolah dibanggakan kerana realitinya, skuad negara dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan.

Malah, ada juga yang mempersoalkan kewajaran siri jelajah tersebut, kerana pasukan yang ditentang kurang gah dan dinilai tidak memberi apa-apa pulangan buat skuad kebangsaan.

Dalam perlawanan di Stadium Numa-Daly Magenta, Rabu lalu, New Caledonia terlebih dahulu mengejutkan Malaysia di babak pertama sebelum dua jaringan daripada Amirulhadi Zainal dan Baddrol Bakhtiar di babak kedua, menyelamatkan maruah negara.

Apapun, kemenangan sulung dalam siri Jelajah Ocenia 2016 itu mengubati sedikit kekecewaan peminat bola sepak tanah air selepas Malaysia dimalukan Papua New Guinea 0-2, minggu lalu.

Kurang agresif

Mengulas aksi bertemu New Caledonia, Kim Swee akui pemainnya kurang memberi tekanan kepada          lawan.

“Pemain bangkit pada babak kedua selepas mereka tahu pada separuh masa pertama, New Caledonia tidak memberi banyak ruang kepada kita.

“Jadi ketika waktu rehat, saya beritahu pemain supaya mereka perlu lebih agresif dan cepat bergerak ke hadapan.

“Terbukti ia membawa banyak perubahan dan kita berjaya mendapatkan dua gol yang cukup baik daripada Amirulhadi dan sepakan percuma Baddrol.

“Seperti saya katakan kepada mereka sewaktu rehat, New Caledonia, Papua New Guinea mahu pun Fiji yang akan kita hadapi selepas ini, mereka merupakan satu pasukan yang cukup baik bukan saja dari segi tubuh fizikal besar dan kekuatan tetapi turut mempunyai kelajuan,” katanya.

Alih fokus

Sementara itu, Kim Swee mahu pemainnya terus fokus dan mengalih tumpuan kepada perlawanan terakhir siri Jelajah Oceania bertemu Fiji, esok.

Menurutnya, keadaan padang yang kurang baik di Stadium Prince Charles Park di Nadi, Fiji juga tidak harus dijadikan alasan untuk pemain skuad Harimau Malaysia beraksi sambil lewa.

Katanya lagi, selain keadaan padang tidak begitu baik, pemain juga perlu berdepan cuaca panas memandangkan mereka akan beraksi pada 2 petang waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia).

“Ini cabaran kepada semua pemain, jadi saya harap mereka mampu membuktikan ia bukan satu masalah untuk kita mendapat keputusan yang baik,” katanya.

Kim Swee berkata, skuad kebangsaan terpaksa beraksi pada waktu petang berikutan negara berkenaan tidak mempunyai kemudahan bola sepak mencukupi terutama ketiadaan lampu limpah di hampir kesemua stadium di negara tersebut.

“Saya juga difahamkan keadaan cuaca dijangka bertambah gelap lebih awal, dalam  5 petang di sini, jadi mereka terpaksa mengadakan perlawanan lebih awal supaya perlawanan ini tidak terganggu,” katanya.

Beri peluang

Dalam pada itu, Kim Swee tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan beberapa pemain yang tidak beraksi pada dua perlawanan terdahulu antaranya pemain Pulau Pinang, S Kumaahran dan pemain Kedah, Muhd Amirul Hisyam Awang Kechik.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan tiga pemain dijangka tidak dapat diturunkan pada aksi berdepan Fiji kerana masih belum pulih daripada kecederaan.

Mereka ialah kapten Selangor, Muhd Shahrom Abdul Kalam; pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Abdul Latiff Suhaimi dan penyerang Johor Darul Ta’zim II, Muhd Zaquan Adha Abdul Radzak.

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 25.6.2016

No comments:

Post a Comment