Ad

Saturday, 25 June 2016

Gunung berapi terbaharu di Johor?

25 Jun 2016 6:22 PM
 Teluk Ramunia di Pengerang, Johor merupakan kawasan gunung berapi kira-kira 200 juta tahun lampau. –
Teluk Ramunia di Pengerang, Johor merupakan kawasan gunung berapi kira-kira 200 juta tahun lampau. –
TELUK RAMUNIA di Pengerang, Johor merupakan kawasan gunung berapi kira-kira 200 juta tahun lampau. – SUMBER HTT P://MERAHSILU.BLOGSPOT.COM
SATU lagi lokasi dipercayai bekas gunung berapi purba ditemukan di Teluk Ramunia, Pengerang, Johor baru-baru ini.
Batuan volkanik jenis ‘ignimbrite’ berusia 238 juta tahun itu ditemui di satu lokasi di situ yang dipercayai bekas lohong atau kawah gunung berapi suatu masa dahulu.
Perkara itu disahkan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Rozi Umor yang berkata, penemuan oleh salah seorang pelajar program ijazah sarjana yang diselianya pada 2014 menunjukkan ada aktiviti aliran magma sehingga ke permukaan bumi di Semenanjung Malaysia suatu masa dahulu.
“Batuan volkanik jenis ignimbrite ini mempunyai ciri-ciri yang tersusun rapi jika dilihat secara mikroskopik. Ia adalah batuan yang terbentuk oleh aliran lahar di lohong. Jadi, kemungkinan ada lohong gunung berapi di situ,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Katanya, batuan volkanik jenis itu juga adalah sama seperti yang dijumpai di Kampung Awah, Temerloh di Pahang dan Temangan, Jeli di Kelantan.
Penemuan batuan volkanik jenis itu menunjukkan kira-kira 300 juta tahun lalu, Semenanjung Malaysia aktif dengan aktiviti gunung berapi, namun kini kesemuanya sudah mati atau dorman.
“Disebabkan proses hakisan, kesemua lohong atau kawah itu sudah tidak dapat dikenal pasti lagi,” katanya.
Selain itu, terdapat penemuan batuan volkanik jenis piroklastik dan basalt serta jenis debuan ditemui di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dalam kajian dijalankan oleh Mohd. Rozi.
“Contohnya, semasa mengkaji batuan di Gunung Benom, Pahang, saya dapati terdapat batuan volkanik yang berusia 200 juta tahun di situ,” ujarnya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/gunung-berapi-terbaharu-di-johor-1.346756#sthash.Uzkn6lzA.dpuf

No comments:

Post a Comment