Kesedaran masyarakat mengenai
pendidikan terutama di kalangan orang-orang Melayu telah wujud sejak lama
dahulu. Peringkat awal pendidikan hanya bertumpu kepada pendidikan agama
melalui sekolah-sekolah rakyat yang dibina oleh penduduk kampung. Selepas
kemasukan Inggeris, mereka telah mendirikan sekolah-sekolah Inggeris dan Melayu
untuk penduduk di luar bandar. Bantuan-bantuan kewangan juga disalurkan kepada
sekolah-sekolah berkenaan. Di Temerloh, Pahang sebuah sekolah telah dirasmikan
pembukaannya pada hari ini 9 Jun 1939 oleh DYMM Sultan Pahang, Sultan Abu
Bakar. Sekolah ini dibuka hasil desakan rakyat yang telah menulis surat rayuan
kepada DYMM Sultan, meminta supaya sebuah sekolah dibuka untuk penduduk di
kawasan ini. Rayuan penduduk ini mendapat sokongan Encik E.C. Hicks, Nadzir
Sekolah-sekolah ketika itu. Satu peruntukan berjumlah RM20,000.00 telah
diluluskan untuk tujuan pembinaan bangunan sekolah dan dua buah rumah guru.
Bangunan sekolah dua tingkat ini mempunyai lima bilik darjah di tingkat atas
dan Pejabat Guru Besar dan beberapa bilik darjah lagi di tingkat bawah. Sekolah
ini telah memulakan sesi persekolahannya pada 12 Januari 1939, dengan nama
asalnya Mentakab English School. Pada 9 Jun 1939, DYMM Sultan Abu Bakar telah
berkenan berangkat merasmikan sekolah tersebut dan menamakanya dengan nama
Sekolah Abu Bakar sempena nama baginda. Nadzir Sekolah Negeri Pahang ketika itu
Encik G.L. Bayliss telah turut hadir dan guru besar pertamanya ialah Encik C.
Sivapakram dihantar khas dari Raub untuk bertugas di sekolah ini. Seramai 42
orang murid perintis telah memulakan persekolahan mereka di sekolah ini. Dua
kelas telah dibuka iaitu 28 murid dalam Special Malay Class dan 14 orang dalam
darjah satu. Sesungguhnya sekolah ini adalah antara sekolah tertua di negeri
Pahang. Penubuhannya telah membuka peluang kepada kanak-kanak di kawasan
Temerloh - Mentakab ketika itu memasuki alam persekolahan. Pengambilan pelajar
dan kakitangan akademiknya terus meningkat dari setahun ke setahun. Secara
keseluruhan perkembangan sekolah ini adalah asas kepada kemajuan sekolah, di
Temerloh - Mentakab dan penubuhannya juga adalah atas dasar kesedaran rakyat
untuk menyediakan warganegara yang berilmu pengetahuan serta untuk menjamin
negara agar terus maju di masa hadapan.
http://www2.arkib.gov.my/hids/
No comments:
Post a Comment