Skuad
kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal mencatat
kemenangan sulung dalam siri Jelajah Oceania 2016 selepas tewas 2-0 Papua New
Guinea pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Sir
John Guise, Port Moresby, petang tadi.
Tuan rumah yang dibimbing jurulatih berusia 69
tahun dari Denmark, Flemming Serritslev berjaya memperoleh dua gol berkenaan
menerusi pemain sayap kiri, Tommy Semmy pada minit ke-35 dan 42.
Kim Swee kemudian melakukan lima pertukaran
serentak sebaik permainan bersambung pada separuh masa kedua dengan memasukkan
S Kunanlan, Fazly Mazlan, Amirulhadi Zainal, Amirul Hisyam Awang Kechik dan S
Chanthuru bagi memburu jaringan.
Sebaliknya Harimau Malaysia terpaksa beraksi
10 pemain pada minit ke-66 selepas pemain pertahanan, Shahrom Abdul Kalam
mengalami kecederaan lutut, empat minit selepas Kim Swee melakukan pertukaran
keenam dan terakhir memasukkan Christie Jayaseelan menggantikan Mahalli Jasuli
yang turut tercedera.
Meskipun beraksi kurang seorang pemain, skuad
Harimau Malaysia tetap berupaya mengimbangi permainan termasuk dua percubaan
yang menggegar palang dan tiang gol Papua New Guinea menerusi Amirulhadi pada
minit ke-72 dan Christie pada minit ke-82.
Namun Harimau Malaysia gagal memecah kebuntuan
sehingga wisel penamat untuk merelakan kekalahan 2-0 di hadapan 1,519 penonton.
Papua New Guinea yang berkedudukan ranking
ke-193 dunia baru saja muncul naib juara Piala Negara-Negara Oceania 2016
minggu lalu selepas tewas penentuan sepakan penalti kepada New Zealand.
Sementara Harimau Malaysia yang kini di
ranking ke-173 dunia mencatat dua kali kemenangan 3-0 ke atas Timor-Leste pada
aksi play-off pada 2 dan 6 Jun lalu untuk layak ke peringkat kumpulan saingan
Kelayakan Piala Asia 2019 dengan agregat 6-0.
Skuad
Harimau Malaysia seterusnya bakal melengkapkan siri Jelajah Oceania 2016 dengan
aksi bertemu New Caledonia (ranking 183) di Noumea pada 22 Jun dan Fiji
(ranking 186) di Nadi pada 26 Jun.
PAPUA NEW
GUINEA: 23-Leslie Kalai, 2-Daniel Joe (15-Philip Steven 90+4'), 5-Felix
Komolong, 4-Alwin Komolong (13-Roland Bala 23'), 19-Koriak Upaiga, 14-Emmanuel
Simon, 12-David Muta (C) (17-Jacob Sabua 46'), 8-Michael Foster (11-Wira Wama
86'), 9-Nigel Dabinyaba, 18-Tommy Semmy (10-Obert Bika 73), 7-Raymond Gunemba
(6-Patrick Aisa 46').
MALAYSIA:
1-Farhan Abu Bakar; 20-Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (16-S Kunanlan 46'),
5-Shahrom Abdul Kalam, 4-Fadhli Shas, 24-Khair Jefri Jones (6-Fazly Mazlan
46'); 3-Brendan Gan (21-Amirulhadi Zainal 46'), 9-Abdul Latiff Suhaimi
(13-Amirul Hisyam Awang Kechik 46'); 14-Ahmad Fakri Saarani (18-S Chanthuru
46'), 11-Baddrol Bakhtiar, 2-Mahalli Jasuli (19-Christie Jayaseelan 62');
17-Amri Yahyah (C).
Pengadil:
George Time (Kepulauan Solomon)
KOMEN KETUA
JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE
"Seperti
yang saya katakan, Papua New Guinea menunjukkan peningkatan dan mereka bermain
agak baik dengan tidak memberi ruang untuk kita bergerak ke hadapan dengan
melakukan 'pressing' dari awal sehingga akhir permainan.
"Agak mengecewakan juga apabila beberapa
pemain yang diturunkan tidak menunjukkan karakter sebenar mereka dan membantu
antara satu sama lain. Jadi ini menjadi salah satu perkara yang perlu saya
teliti.
"Biarpun beraksi 10 pemain, kita berjaya
mencipta dua peluang iaitu terkena palang dan tiang. Ini membuktikan pada
separuh masa kedua, jika mentaliti dan sikap pemain ingin melakukan sesuatu,
sudah tentu kita mampu bermain dengan lebih baik.
"Saya harap dengan keputusan yang
mengecewakan ini, ia akan menjadi satu pengajaran di mana kita harus bangkit
dan harus konsisten.
"Di sini perkara yang terlampau mudah
untuk kita lihat apabila kita berjaya menewaskan Timor-Leste sebanyak dua kali
dan selepas itu, beberapa pemain antaranya telah bersikap ambil mudah. Ini juga
faktor yang perlu saya baik selain daripada permainan yang lebih baik."
SUMBER- http://www.fam.org.my/news/persahabatan-papua-new-guinea-2-0-malaysia
No comments:
Post a Comment