Ad

Sunday, 12 June 2016

England hampa diikat Rusia

DIER (kanan) terlebih dahulu memberikan keceriaan kepada kem England apabila meledak gol pembukaan menerusi sepakan percuma menarik, namun terpaksa akur diikat 1-1 oleh Rusia pada aksi Euro awal pagi semalam.

MARSEILLE, Perancis – Ke­tua jurulatih England, Roy Hodgson berkata, keputusan seri 1-1 ketika menentang Rusia awal pagi semalam adalah perkara yang sukar di­terima.

“Kami hampir menang tetapi akhir­nya ‘tewas’ dalam tempoh kurang dari se­minit sebelum wisel penamat. Keputusan ini begitu sukar untuk saya terima tetapi inilah bola sepak yang mana tidak ada siapa pun yang boleh tahu pasukan mana yang akan menang pada akhirnya.

“Saya harap kekecewaan ini tidak terus diratapi kerana England harus bangkit dan bersedia untuk beraksi pada perlawanan seterusnya. Banyak pengajaran yang kami boleh ambil pada perlawanan menentang Rusia,” jelasnya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stade Velodrome, skuad The Three Lions mendominasi keseluruhan perlawanan babak pertama namun, gagal menjaringkan sebarang gol. Menjelang minit ke-73, England akhirnya berjaya menjaringkan gol pembukaan hasil sepakan percuma pemain tengah, Eric Dier.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak kekal lama selepas pemain pertahanan veteran, Vasili Berezutski berjaya meledakkan gol penyamaan menerusi tandukan dalam kotak penalti pada waktu kecederaan. Keputusan seri 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Dalam perkembangan sama, keputusan Hodgson untuk mengeluarkan penyerang, Wayne Rooney yang beraksi pada posisi tengah telah mendapat kritikan hebat selepas pemain yang menggantikannya, Jack Wilshere gagal memberi impak yang baik.

“Rooney beraksi dengan baik pada posisi tengah dan dia kelihatan letih. Dengan dominasi yang kami lakukan, saya fikir ada baiknya saya menggunakan khidmat Wilshere sambil berharap dia juga mampu beraksi dengan baik sama seperti yang dilakukan oleh Rooney,” ujarnya. – Agensi

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4BPc0btyb Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment