Ad

Saturday, 11 June 2016

England mesti lepasi ujian Rusia

11 Jun 2016 12:35 AM

KETUA pasukan England, Wayne Rooney (kiri) memanaskan badan bersama rakan sepasukan Chris Smalling dan Harry Kane dalam sesi latihan di kem latihan pasukan di Chantilly semalam. REUTERS

MARSEILLE 10 Jun - Keputusan selain daripada menang ke atas Rusia esok mampu merosakkan harapan England dalam Euro 2016, kata penjaga gol Joe Hart untuk memberi peringatan kepada skuad Three Lions berwajah baharu yang berusaha untuk menamatkan kekecewaan selama 50 tahun.
Skuad Roy Hodgson itu akan bersemuka dengan Rusia yang dilanda masalah kecederaan di Stade Velodrome milik kelab Marseille dengan berusaha mengelak daripada mengulangi nasib malang dalam Piala Dunia 2014 apabila kalah kepada Itali dan Uruguay dalam dua perlawanan pertama.
Tahun ini genap 50 tahun England menyambut kejayaan mereka dalam Piala Dunia 1966, kemenangan tunggal mereka dalam kejohanan besar, dan keyakinan semakin meningkat bahawa skuad muda Hodgson mampu mencipta kejutan ke atas pasukan yang lebih dihormati seperti Jerman dan Sepanyol.
Tetapi Hart, salah seorang pemain dalam skuad England yang pulang awal dari Brazil, berkata memenangi “perlawanan paling penting” mereka merupakan kunci jika mereka mahu bertemu dua lagi pencabar dalam Kumpulan B iaitu Slovakia dan Wales dengan lebih yakin.
“Sabtu adalah perlawanan kami yang paling penting dan kemudian kami akan berusaha untuk memenangi setiap perlawanan seterusnya dan lihat apa yang akan berlaku,” kata Hart di pangkalan England di Chantilly berdekatan Paris.
Di atas kertas, England akan memulakan perlawanan selaku pasukan pilihan berbanding Rusia. Hodgson telah mengumpulkan skuad paling muda dalam sejarah England untuk kejohanan besar sejak Piala Dunia 1958, meletakkan kepercayaannya kepada pemain-pemain remaja seperti penyerang Marcus Rashford, 18, pertahanan tengah Chris Smalling, 25, dan pertahanan kanan berusia 26 tahun Kyle Walker.
Selepas musim Liga Perdana yang dikuasai oleh juara Leicester City dan Tottenham, Jamie Vardy dan Harry Kane sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab memburu gol untuk England, berkemungkinan dalam formasi tiga penyerang bersama-sama orang lama Wayne Rooney.
Penyerang Tottenham, Kane berkata dia berharap dapat menjadi ubat kepada masalah pemain-pemain gagal membawa prestasi hebat ketika bersama kelab ke pentas antarabangsa.
“Sudah tentu keadaan sentiasa sukar apabila anda datang bersama England.
“Anda tidak ada banyak masa untuk melakukan persiapan seperti apabila anda bersama kelab. Tetapi kami adalah pemain-pemain kebangsaan England. Anda mesti membiasakan diri dengan perkara itu,” kata Kane selepas kemenangan 1-0 mereka ke atas Portugal dalam perlawanan persahabatan minggu lalu.
Sementara itu jurulatih Rusia, Leonid Slutsky terpaksa menghadapi perlawanan pertamanya tanpa pasangan pemain tengah Alan Dzagoev dan Igor Denisov yang cedera ketika mereka juga ingin menghapuskan kekecewaan kerana pulang awal dari Brazil.
Smalling berkata Artem Dzyuba, penyerang Zenit St. Petersburg yang memiliki ketinggian 1.96 meter dan telah menjaringkan sembilan gol dalam 18 perlawanan antarabangsa, mampu menjadi ancaman terbesar.
“Dua pertahanan tengah kami perlu menjadi sangat gagah dan agresif apabila berdepan dengan dia. Selaku pemain pertahanan dalam Liga Perdana, kami sudah biasa dengan pemain-pemain besar dan cabaran mereka, dan itu adalah sesuatu yang kami suka hadapi selaku pertahanan tengah,” katanya. – AFP

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/england-mesti-lepasi-ujian-rusia-1.340894#sthash.mNXZa4n1.dpuf

No comments:

Post a Comment