Pada hari ini dalam tahun 15.6.1832, peperangan di antara pihak Kerajaan Inggeris
di Melaka dengan Naning telah berakhir.
Peperangan yang lebih dikenali sebagai Perang Naning ini meletus akibat daripada keengganan
orang-orang Melayu Naning membayar cukai
kepada pihak berkuasa Kerajaan Inggeris di Melaka. Pada bulan Julai 1831, sepasukan askar Sepoi telah dihantar oleh kerajaan
Inggeris ke Naning untuk menghapuskan orang-orang Naning yang diketuai oleh
Penghulunya, Dato' Naning Abdul Said atau Dol Said. Serangan itu dapat
dipatahkan oleh pasukan Dato' Naning yang mendapat bantuan daripada orang-orang
Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban.
Pada 28 Januari 1832, satu perjanjian ditandatangani di antara Rembau
dan pihak Inggeris hasil daripada beberapa siri rundingan yang diadakan
daripada bulan September 1831 hingga Januari 1832. Hasil daripada perjanjian
itu Rembau telah diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat oleh Inggeris dan sebagai ganjarannya Raja Ali
telah menarik pasukanya di Naning. Dalam
serangan kali kedua ke atas Naning, Inggeris telah mendapat bantuan daripada
Rembau dan telah berjaya menawan selepas pertempuran yang sengit selama dua
bulan. Sesungguhnya, Perang Naning telah
membuktikan semangat juang di kalangan orang-orang Melayu tidak pernah luntur
dalam memerdekakan tanahair.
No comments:
Post a Comment