Ad

Saturday, 25 June 2016

NEGARA MILIKI GUNUNG BERAPI PRASEJARAH

25 Jun 2016 6:02 PM
UMUM mengetahui Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik. Fakta itu jelas menunjukkan tidak wujud gunung berapi aktif di negara ini.

Namun sejak kebelakangan ini, ada blogger dan netizen mencetuskan pendapat mengatakan Malaysia berisiko diancam bencana letusan gunung berapi. Dikatakan akan muncul gunung berapi di Pahang dan Sabah. Ancaman itu dipercayai boleh berlaku berdasarkan fakta terdapat gunung berapi prasejarah di kedua-dua negeri tersebut. Gunung berapi itu dikatakan wujud berjuta tahun lampau dan statusnya boleh bertukar kepada aktif disebabkan faktor aktiviti seismik di dalam perut muka bumi yang berlaku sekarang di negara ini.
Aktiviti seismik yang dikaitkan itu adalah beberapa siri kejadian gempa bumi di beberapa kawasan di Malaysia, antaranya di Pahang, Kedah dan Sabah.
Selain itu, ada pihak mempercayai beberapa kawasan pergunungan seperti Gunung Tahan dan Gunung Kinabalu mampu meledakkan lahar gunung berapinya semula, selepas mati berjuta tahun lalu ekoran perubahan geologi bumi.
Benarkah tanggapan itu? Bagi menjawab persoalan tersebut, S2 mendapatkan pandangan pakar geologi dari Jabatan Geologi Universiti Malaya, Prof. Dr. Mustaffa Kamal Shuib bagi merungkai bagaimana sejarah gunung berapi dikaitkan dengan Malaysia.
Menurutnya, memang benar terdapat beberapa kawasan di Malaysia pernah mempunyai gunung berapi tetapi letusan itu berlaku ratusan juta tahun lalu. Justeru, apa yang tinggal hari ini adalah sisa gunung berapi yang telah lama mati.
Katanya, lokasi gunung berapi paling muda dan terakhir pernah meletus di negara ini dipercayai terletak di Kuantan, Pahang.
“Sehingga hari ini, terdapat kesan batuan volkanik jenis basalt di pantai Batu Hitam, Kuantan, manakala punca kawah yang meletuskan lahar pula dipercayai terletak berdekatan pesisir pantai yang kini dikenali sebagai Damansara Kuantan,” katanya.
Beliau berkata, proses hakisan dan enapan yang memakan masa jutaan tahun menyebabkan kawah gunung berapi itu tidak lagi kelihatan.
Katanya, selain Kuantan, lokasi lain seperti Segamat (Johor), Gerik (Perak) dan Gua Musang (Kelantan) juga mempunyai batuan volkanik yang dipercayai hasil daripada letusan gunung berapi di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, Mustaffa Kamal berkata, dakwaan blogger dan netizen mengenai kejadian gempa bumi di Malaysia sejak akhir-akhir ini mampu mengaktifkan semula gunung berapi purba adalah tidak berasas, terutama di Gunung Tahan dan Kinabalu.
“Gunung Tahan dan Kinabalu adalah gunung yang terbentuk daripada proses enapan dan batuan plutonik yang terhasil daripada proses pergerakan magma yang membeku dan tidak sempat mengalir keluar ke permukaan bumi melalui lohong gunung berapi,” katanya.
Sementara itu, katanya, sejak 1997, kejadian gempa bumi di negara ini berlaku akibat gegaran yang tercetus di Lingkaran Api Pasifik.
Terbaharu gempa bumi berukuran 6.0 Skala Ritcher pada 5 Jun 2015 di Sabah mengorbankan 19 orang.
“Untuk makluman, Semenanjung berada di atas kerak bumi yang dinamakan Plat Sunda. Plat ini dihimpit Plat Indo-Australia di sebelah selatan pada kadar tujuh sentimeter setahun.
“Sementara itu, Plat Filipina-Pasifik pula menghimpit Sabah dan Sarawak pada kadar 10 sentimeter setahun,” katanya.
Namun katanya, plat yang menjunam ke bawah Plat Sunda tidak sampai tahap boleh menghasilkan letusan gunung berapi.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/negara-miliki-gunung-berapi-prasejarah-1.346751#sthash.hBMmnA64.dpuf

No comments:

Post a Comment