Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
SKUAD Harimau Malaysia tiba di Fiji semalam untuk menghadapi skuad kebangsaan Fiji pada aksi persahabtan Ahad ini.
FIJI akan menguji kekuatan mereka dengan skuad Harimau Malaysia pada aksi terakhir siri Jelajah Oceania 2016 di Stadium Prince Charles Park Nadi, Fiji esok.
Aksi tersebut memang kena pada masanya kerana Fiji akan mengambil kesempatan tersebut menguji kemampuan mereka sebelum menghadapi Sukan Olimpik pada Ogos nanti.
Skuad bola sepak Fiji berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio nanti.
Menurut jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee skuad kendaliannya bakal menjadi medan ujian buat Fiji dan sudah pastinya ia bakal menjadi aksi yang sengit dan mencabar.
Skuad kebangsaan memulakan siri Jelajah Oceania 2016 dengan kekalahan 0-2 di tangan Papua New Guinea (17 Jun) tetapi kembali bangkit merakamkan kemenangan pertama dengan menewaskan New Caledonia 2-1, Rabu lalu.
Kini, Kim Swee mengharapkan pasukan bimbingannya dapat menutup Jelajah Oceania 2016 dengan kejayaan positif tetapi dalam masa yang sama, pengendali kelahiran Melaka itu menyedari Fiji tidak akan memberikan laluan mudah kepada Harimau Malaysia.
Menurutnya, Fiji yang telah layak ke Sukan Olimpik di Rio, Brazil nanti mahu membuktikan sesuatu dan sudah pastinya mereka akan berusaha keras untuk menewaskan Harimau Malaysia.
“Kita tahu mereka telah layak ke Sukan Olimpik. Selain pemain-pemain skuad Olimpik, saya juga difahamkan mereka menurunkan hampir sebahagian pemain pasukan kebangsaan mereka beraksi kerana mereka mahu memilih tiga pemain terbaik untuk berada dalam skuad di bawah kuota pemain melebihi umur, jelas Kim Swee lagi.
Dalam perkembangan sama, Kim Swee juga mengingatkan barisan pemainnya agar terus bekerja lebih keras kerana mereka akan menentang satu pasukan yang hebat walaupun beraksi dalam keadaan fasiliti kurang memuaskan selain faktor cuaca panas.
“Seperti mana yang kita tahu, kita akan bermain pada sebelah petang termasuk keadaan fasiliti yang tidak begitu baik dan ini merupakan cabaran kepada semua pemain. Jadi, saya harap mereka mampu membuktikan bahawa kekurangan itu bukan satu masalah untuk kita mendapatkan keputusan yang baik.”
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4CZuVARLx Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment