Ad

Thursday, 16 June 2016

Kim Swee rombak pasukan

Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my 
Kuala Lumpur: Jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee bersedia melakukan rombakan pasukannya bagi aksi pertama Jelajah Oceania 2016 menentang Papua New Guinea (PNG) di Port Moresby, esok.

Perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus A itu bukan saja menjadi medan buat skuad kebangsaan meningkatkan permainan malah bagi memperbaiki ranking.

Dua kemenangan menerusi keputusan 3-0 berturut-turut ke atas Timor Leste dalam aksi play-off kelayakan Piala Asia 2019 dilakar Harimau Malaysia awal bulan ini dan Kim Swee sudah pasti mahu rentak itu diteruskan biarpun tidak menurunkan barisan pemain sama.

“Seperti yang saya katakan, pemain yang tidak beraksi sebelum ini akan diberi peluang dan mereka harus tahu tugas masing-masing bertemu PNG nanti.

“Saya mahu melihat mereka beraksi sebaik mungkin sama seperti pemain yang sudah diturunkan ketika bertemu Timor-Leste.

“Saya inginkan keseimbangan dalam pasukan kerana jika berlaku sesuatu kepada pemain utama, saya tidak mempunyai masalah mendapatkan pengganti,” jelas Kim Swee.

Pengendali kebangsaan itu bersama 24 pemain kini menjadikan Brisbane, Australia sebagai pangkalan mereka sebelum mengharungi Jelajah Oceania 2016.

Dalam beberapa sesi latihan sejak tiba di Brisbane Ahad lalu, Kim Swee banyak menumpukan aspek kecergasan dan taktikal permainan.

“Kita mendapat tiga sesi latihan yang cukup baik di sini terutama dari segi taktikal. Paling mustahak, semua pemain dalam skuad kali ini harus memahami dengan lebih baik corak permainan yang mahu saya terapkan,” katanya.

Selepas pertemuan dengan PNG yang berkedudukan ranking ke-193 dunia, skuad Harimau Malaysia (173) bakal melengkapkan Siri Jelajah Oceania dengan bertemu New Caledonia (183) di Noumea pada 22 Jun dan Fiji (186) di Nadi 26 Jun ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 9:49 AM
 

KIM Swee (tengah) beri arahan kepada pemain ketika sesi latihan.

No comments:

Post a Comment